Thursday, December 23, 2010

Gangguan bekalan air di P.Pinang pada 28 Disember



PENANG, 21/12/2010: Orang ramai di negeri Pulau Pinang dinasihatkan hari ini untuk membuat persiapan bagi menyimpan air yang mencukupi untuk kegunaan pada 28 Disember 2010.

Ketua Menteri Y.A.B Lim Guan Eng mengingatkan orang ramai untuk bersedia menghadapi gangguan bekalan air berkala kerana Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) perlu menjalankan kerja-kerja penting untuk penaiktarafan dan penyelenggaraan di beberapa loji rawatan air dan paip agihan di negeri Pulau Pinang.

Beliau berkata kebanyakan kawasan di Negeri Pulau Pinang akan mengalami gangguan selama 12 jam, dari jam 7.00 pagi sehingga 7.00 malam. Gertak Sanggul & Teluk Kumbar mungkin mengalami gangguan selama 24 jam (dari jam 7.00 pagi 28.12.2010 hingga 7.00 pagi 29.12.2010) kerana kawasan-kawasan ini terletak di hujung rangkaian paip agihan.

Kawasan-kawasan yang berdekatan dengan loji rawatan air yang sedia ada seperti Air Itam, Balik Pulau, Batu Ferringhi, Penang Hill, Tanjung Bungah, Tanjong Tokong dan Teluk Bahang tidak akan terlibat dengan gangguan ini. (Sila rujuk kepada peta yang disertakan.)

Kebanyakan kilang-kilang dan bangunan tinggi di dalam kawasan yang terlibat mempunyai tangki simpanan air untuk menampung penggunaan sekurang-kurangnya 24 jam. Rumahrumah persendirian juga kebanyakannya mempunyai tangki simpanan air.

“Mereka yang tiada tangki simpanan air di rumah masing-masing dinasihatkan untuk membuat persediaan untuk menyimpan air bagi kegunaan asas seperti air minuman, memasak dan dalam tandas. Sila siapkan simpanan air sebelum jam 7.00 pagi.” kata Y.A.B. Lim.

“Kita sedar yang gangguan ini akan menyebabkan sedikit kesulitan untuk orang ramai di Pulau Pinang. Walau bagaimanapun, kerja-kerja ini perlu dijalankan untuk mengekalkan pembekalan air yang baik secara berterusan kerana penggunaan air telahpun meningkat.”

“PBAPP perlu menghentikan operasi di Loji Rawatan Sungai Dua selama 12 jam untuk melaksanakan empat kerja utama di loji ini pada 28 Disember 2010. Tiga lagi kerja utama akan dilaksanakan di Bukit Dumbar; simpang antara Jalan Sungai Dua dan Jalan Pekan Darat; dan Jalan Bukit Tengah,” tambah beliau lagi.

“Kita berharap orang ramai di negeri Pulau Pinang faham bahawa kesulitan ini akan memberi manfaat jangka panjang dengan mengurangkan risiko berlakunya gangguan air yang tidak dijadualkan, kekurangan air atau tekanan air rendah di masa hadapan.” kata Y.A.B Lim.

Y.A.B. Lim menyatakan tarikh 28 Disember dipilih sebagai tarikh yang paling sesuai untuk mengurangkan kesan gangguan bekalan.

“28 Disember ialah hari bekerja dimana kebanyakan orang ramai bercuti hujung tahun; dan kebanyakan kilang-kilang tidak beroperasi pada tahap maksima.

“Oleh kerana skop, jenis dan juga skala kerja-kerja yang perlu dijalankan pada 28 Disember, ianya perlu dilakukan pada siang hari. PBAPP juga perlu mengambilkira aspek keselamatan pekerja dan orang ramai. Lebih kurang 300 pekerja PBAPP akan terlibat untuk memastikan kerja-kerja ini dijalankan dengan sempurna dan mengikut jadual.” jelas beliau lagi.

Y.A.B. Lim juga menyatakan bahawa Kerajaan Negeri meluluskan tarikh ini pada akhir bulan Oktober 2010, dan PBAPP telah memaklumkan hal ini kepada semua pengguna utama dan kritikal.

PBAPP juga telah memaklumkan hal ini secara rasmi kepada semua Ahli Dewan Undangan Negeri, jabatan dan agensi kerajaan (termasuk Jabatan Bomba), hotel-hotel serta hospital mengenai gangguan sejak awal bulan Disember.

“Ini bukan kali pertama terdapatnya gangguan air berkala seperti ini diadakan, dan kali terakhir ia dijalankan ialah pada tahun 2006.

“Semua badan yang menyediakan perkhidmatan kritikal seperti hospital dan Bomba mestilah mempunyai rancangan kontingensi untuk menghadapi gangguan 12 jam ini.

Organisasi berkenaan sepatutnya mempunyai rancangan sebegini bukan sekadar untuk 28 Disember, malah ianya lebih penting untuk mengatasi gangguan air yang tidak dijadualkan.” kata beliau.

Untuk maklumat lebih lanjut mengenai gangguan bekalan air pada 28 Disember 2010, sila hubungi Pusat Panggilan Pelanggan PBAPP 24-jam melalui talian 04-509 6 509.