Wednesday, May 4, 2011

PERBAHASAN ADUN PADANG LALANG, TAN CHEONG HENG

MESYUARAT YANG PERTAMA BAGI PENGGAL YANG KEEMPAT
DEWAN UNDANGAN NEGERI PULAU PINANG YANG KEDUA BELAS

PERBAHASAN ADUN PADANG LALANG, YB TUAN TAN CHEONG HENG

TARIKH: 4HB MEI 2011


YB Datuk Speaker yang saya hormati, selamat pagi dan salam sejahtera.

Saya ingin mengambil bahagian untuk membahaskan usul terima kasih ke atas ucapan Tuan yang Terutama sempena pembukaan rasmi Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Persidangan Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang.

YB Datuk Speaker, saya berpendapat jika kita berhasrat untuk menjadikan Negeri Pulau Pinang sebuah bandaraya yang bertaraf antarabangsa, maka kita seharusnya menitikberatkan kebersihan alam sekitar.

Walaupun kedua-dua PBT kita, iaitu MPPP dan MPSP telah berusaha dengan sungguh-sungguh untuk memperbaiki tahap kebersihan, tetapi saya mendapati masih terdapat ruang yang agak luas untuk kedua-dua buah PBT memainkan peranan dengan lebih baik dan berkesan.

Walaubagaimanapun, saya ingin mengambil kesempatan dalam Dewan yang mulia ini untuk mengucapkan ribuan terima kasih dan syabas kepada pegawai-pegawai dan kakitangan-kakitangan MPPP dan MPSP kerana prestasi menjalankan tugas masing-masing memang telah ternampak kemajuan, ini tidak boleh saya menafikan, tetapi saya berharap MPPP dan MPSP meneruskan kerja-kerja penambahbaikan ini untuk memastikan kebersihan alam sekitar dapat diteruskan dan mungkin dalam satu atau dua tahun yang akan datang, kita dapat menikmati alam sekitar yang bersih, nyaman serta makmur untuk rakyat Pulau Pinang menduduki dan bekerja.

YB Datuk Speaker, masalah banjir kilat yang berlaku baru-baru ini jelas membuktikan kerja-kerja tebatan banjir masih belum berjaya dengan sepenuhnya.

Di KADUN Padang Lalang, hujan lebat telah menyebabkan banyak taman-taman perumahan ditenggelami air. Saya berharap kerja-kerja tebatan banjir di Taman Desa Damai dan Taman Makok dapat disegerakan. Saya juga ingin memohon supaya pihak yang berkenaan memandang berat terhadap masalah banjir kilat di Taman Sri Rambai Fasa I, Taman Sungai Rambai dan taman-taman yang berdekatan. Kawasan-kawasan yang rendah ini memerlukan rumah pam supaya air hujan dapat dipam ke dalam sungai atau parit dengan cepat untuk mengelakkan air hujan memasuki kediaman-kediaman.

Kerja-kerja penyelenggaraan dan pembersihan parit-parit monsoon juga seharusnya dijalankan lebih kerap, bukan dua kali setahun untuk membolehkan parit-parit dan sungai-sungai dapat menampung lebih banyak air.

YB Datuk Speaker, masalah rumah retak dan kemendapan tanah di Taman Kota Permai yang diakibatkan oleh projek JPP masih belum diselesaikan dengan sepenuhnya.

Saya menyeru kepada JPP supaya mengambil inisiatif dan langkah-langkah yang positif untuk tampil ke hadapan supaya kesengsaraan dan kebimbangan penduduk-penduduk setempat dapat diatasi dengan berkesan dalam masa terdekat.

Masalah rumah meretak berlaku atas sebab kerja-kerja pembinaan projek JPP adalah satu fakta yang tidak boleh JPP menafikan. Oleh itu, saya ingin nampak sesuatu yang konstruktif dapat dilakukan oleh JPP dengan serta-merta.

YB Datuk Speaker, sistem pengangkutan awam di Seberang Perai berada dalam situasi serba kekurangan, warga Seberang Perai berhadapan dengan masalah pengangkutan, di mana semua orang dipaksa menggunakan kereta atau motosikal sendiri.

Misalnya, apabila seorang penduduk di Taman Sri Rambai ingin pergi ke Berapit, langsung tidak ada bas atau teksi yang boleh beliau pakai.

Saya menyeru kepada Kerajaan supaya satu sistem pengangkutan awam yang beroperasi antara taman-taman perumahan dalam sesebuah bandar dapat diwujudkan dengan kerjasama Rapid Penang dan syarikat-syarikat bas yang lain.

YB Datuk Speaker, saya ingin mencadangkan Kerajaan memberi insentif kepada syarikat bas yang ingin memberi perkhdimatan ini supaya kita dapat menyenangkan orang awam yang ingin berulang-alik dari satu taman ke satu taman dengan kos yang minima, ini merupakan kebaikan pertama.

Kedua, dengan adanya sistem pengangkutan awam yang berkesan, kesesakan lalulintas dapat dikurangkan.

Ketiga, penjimatan kegunaan petrol dapat mengurangkan juga kecemaran alam semulajadi.

YB Datuk Speaker, industri pelancongan merupakan satu sektor aktiviti ekonomi yang penting di Pulau Pinang, malangnya kebaikan dan keuntungan yang diperolehi kurang dapat disalurkan ke Seberang Perai, kerana pelancong-pelancong dari luar Negara dan juga dalam negera kurang mengunjungi Seberang Perai.

Saya berpendapat, terdapat banyak destinasi dan tarikan-tarikan pelancongan yang bermutu tinggi di Seberang Perai, tetapi sekian lama ini telah dipinggirkan. Saya meminta Kerajaan menjalankan satu program promosi pelancongan di Seberang Perai supaya lebih ramai orang mengetahui Seberang Perai.

Bayangkan, jikalau setiap hari terdapat 20 buah bas yang membawa pelancong-pelancong dari sebelah pulau masuk ke Seberang Perai untuk lawatan satu hari, maka akan terdapat lebih kurang 600 orang pelancong boleh belanja di Seberang Perai, ini akan menggalakkan aktiviti-aktiviti ekonomi dan memberi keuntungan yang lumayan kepada sektor bisnes di Seberang Perai.

YB Datuk Speaker, saya juga tidak lupa golongan wanita yang ramai. Wanita memainkan peranan yang penting dalam kehidupan kita, maka saya ingin menyeru kepada Kerajaan supaya lebih perhatian disalurkan kepada golongan wanita untuk membantu mereka mencapai impian-impian mereka.

Saya berpendapat, golongan wanita memerlukan peluang yang adil dan saksama, saya ingin mengucapkan syabas kepada Kerajaan kerana kita sebenarnya telah mengambil langkah yang positif untuk golongan wanita diletakan di posisi penting dalam pentadbiran Kerajaan, contohnya kedua-dua orang Tuan Yang diPertua MPPP dan MPSP adalah wanita.

Ibu tunggal juga harus diberi perhatian, supaya mereka dapat bekerja untuk mencari punca pendapatan. Golongan ini memerlukan lebih banyak bantuan kemudahan untuk menjaga anak-anak mereka apabila mereka bekerja.

YB Datuk Speaker, walaupun bidang pendidikan dan perubatan bukan bawah pentadbiran Kerajaan Negeri, saya berharap kerjasama antara kita dengan Kerajaan Pusat harus dipereratkan, supaya lebih peruntukan disalurkan kepada sekolah-sekolah dan hospital-hospital dalam Negeri Pulau Pinang.

Pendidikan merupakan alat untuk menjana kuasa memaju ke masa hadapan. Anak-anak muda Pulau Pinang seharusnya diberi peluang yang mencukupi supaya mereka dapat mengecapi ilmu dan kemahiran untuk membantu membangunkan Pulau Pinang.

Hospital pula merupakan satu kemudahan harian setiap orang rakyat Pulau Pinang. Dengan kos yang terlalu tinggi yang dicaj oleh hospital swasta, saya berpendapat Kerajaan mesti mengambil inisiatif untuk berbincang dengan Kementerian Kesihatan supaya hospital-hospital awam yang baru dapat dibina di Pulau Pinang, dan banyak hospital sedia ada yang tidak dapat menampung pesakit-pesakit yang semakin hari semakin tambah, hospital-hospital ini perlu dinaiktaraf dan kemudahan baru harus disediakan, termasuk lebih wad dibina untuk keselesaan pesakit-pesakit.

YB Datuk Speaker, rumah pangsa kos rendah dan kos sederhana merupakan rumah yang mampu dibeli oleh sesetengah rakyat Pulau Pinang yang berpendapatan rendah, tetapi malangnya saya mendapati banyak rumah pangsa kos rendah telah disewa kepada pendatang asing yang bekerja di kilang-kilang besar.

Saya amat kecewa dengan penguatkuasaan yang amat lemah, dimana dasar kita memang tidak membenarkan rumah pangsa jenis ini disewa, hakikatnya insiden ini berlaku di merata tempat. Saya memohon pihak yang bertanggungjawab memberi lebih tumpuan terhadap sinario ini yang merugikan rakyat kita. Saya berharap tindakan tegas harus diambil terhadap mereka yang mengingkari dasar-dasar yang sedia ada.

YB Datuk Speaker, pentadbiran yang telus dan cekap amat penting untuk sesebuah Kerajaan menjamin pegawai-pegawainya tidak terlibat dengan gejala rasuah.

Sebagai teladan, Kerajaan Pakatan Rakyat Pulau Pinang telah mendapat pujian dari Transparency International kerana usaha-usaha membanteras jenayah rasuah kita.

Keadaan kewangan MPSP telah diselamatkan dari ambang bankrupsi dengan pentadbiran yang cekap, akauntabiliti dan telus juga.

Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk menyeru kepada Perdana Menteri Dato Seri Najib mengamalkan kaedah menangani rasuah Singapura atau Hong Kong, dimana jika seseorang pegawai awam didapati menikmati cara kehidupan mewah yang di luar kemampuan pendapatan beliau, maka beliau akan disiasat, jika beliau tidak dapat membuktikan kemewahan beliau adalah dari punca pendapatan yang halal, maka beliau akan didakwa ke mahkamah.

Dato Seri Najib berkata beliau ingin memakai cara ‘blue ocean’, dengan izin, untuk menangani masalah rasuah, saya berpendapat, YB Datuk Speaker, macam mana Perdana Menteri dapat berjaya menyelesaikan gejala rasuah di Negara ini jika beliau ‘cakap tak serupa bikin’?

Saya berpendapat, tak kira ‘blue ocean’ atau ‘red ocean’, masalah rasuah masih akan terus bermaharajalela bawah pemerintahan UMNO Barisan Nasional.

YB Datuk Speaker, saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengkritik suratkhabar yang suka menyiarkan berita-berita palsu yang berniat jahat dan mempermainkan sentimen perkauman dan agama. Suratkhabar yang saya maksudkan adalah Utusan Malaysia.

Saya bercadang Kerajaan Negeri seharusnya mengambil tindakan mahkamah terhadap suratkhabar ini apabila mereka mencetakan berita-berita palsu yang memburukkan prestasi dan imej Kerajaan dan juga pemimpin-pemimpin kita.

Trend dan cara Utusan Malaysia menggendalikan laporan mereka yang bahaya ini akan menghancurkan perpaduan dan keharmonian kaum-kaum Negara ini. Saya berpendapat, hanya melalui tindakan mahkamah baru boleh kita berjaya menghalang Utusan Malaysia dari meneruskan tindakan jahat dan keji ini.

YB Datuk Speaker, saya berpendapat, slogan ‘Satu Malaysia’ yang dilaungkan oleh Perdana Menteri merupakan satu slogan yang tidak bermakna, kerana UMNO Barisan Nasional selalu “cakap tak serupa bikin”, cakap Satu Malaysia, tetapi Melayu diutamakan, rakyat dibahagi kepada dua, iaitu Bumiputera dan Bukan Bumiputera.

YB Datuk Speaker, slogan ‘Satu Malaysia’ nampaknya menarik, tetapi hakikatnya, saya berpendapat, ‘Satu Malaysia’ hanya merupakan satu lagi slogan yang kosong, tanpa sebarang makna yang jati dan ikhlas.

Dengan hormatnya saya mohon menyokong.

Sekian, terima kasih.