Thursday, May 5, 2011

Ucapan ADUN Bukit Tengah Ong Chin Wen

Terima kasih Dato’ Speaker kerana memberi peluang kepada saya untuk turut serta dalam perbahasan usul terima kasih kepada ucapan perasmian TYT Tun pada Jumaat yang lalu.

Dalam ucapan perasmian TYT Tun, Tun telah menyentuh program dan projek pembangunan yang berteraskan 5 paksi iaitu (dengan izin) pro-Growth, pro-Jobs, pro-Poor, Pro-Talent dan Pro-Welfare yang diterajui oleh kerajaan Pakatan Rakyat negeri Pulau Pinang.

Dalam membangunkan negeri Pulau Pinang, kerajaan negeri sememangnya menghadapi satu cabaran yang cukup tinggi iaitu mengimbangi di antara pembangunan dan kesan sampingan pembangunan.

Salah satu isu atau masalah yang sering timbul akibat pembangunan adalah banjir kilat dan Pulau Pinang yang pesat dengan pembangunan ini juga tidak lari daripada nasib dilanda banjir kilat. Malahan, pada Jumaat lalu, banjir kilat telah pun berlaku di banyak kawasan di Seberang Perai Tengah dan sebahagian kecil di Seberang Perai Selatan.

Meskipun banjir kilat akan surut dalam tempoh masa yang singkat di mana panduan yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Meteorgical Sedunia bahawa tempoh banjir kilat adalah kurang daripada 6 jam, akan tetapi, kita juga tidak menafikan bahawa banjir kilat ini semestinya membawa kepada kesusahan kepada mangsa-mangsa, kerosakan harta benda, masalah lalulintas dan kadang-kala juga melibatkan kehilangan nyawa.

Saya tidak menafikan bahawa kerajaan negeri telah melaksanakan pelbagai projek termasuklah projek naik taraf parit, pembinaan rumah pam dan sebagainya bagi mengurangkan insiden dan kesan banjir kilat. Akan tetapi, sememangnya terdapat kelemahan dalam sebahagian daripada projek yang dilaksanakan, memandangkan banjir kilat masih berlaku di tapak yang sama. Selain itu, memandangkan pembangunan yang pesat, pelbagai projek pembinaan perumahaan dan projek infrastruktur yang dijalankan di Pulau Pinang, sekian hari, sekian banyak kawasan baru dilandai banjir kilat.

Secara kebiasaannya, pendekatan kita dalam menangani masalah banjir kilat seakan-akan sakit kaki rawat kaki, sakit kepala rawat kepala. Sebagai contohnya, kita sering membina kolam takungan bagi tujuan menyimpan surface runoff, kita biasa memperdalam dan memperluas sungai serta meninggikan tebing sungai untuk menambah kapasiti menampung air sungai, dan kita biasa membina rumah pam untuk mengepam keluar air dari longkang yang mempunyai paras bumi yang lebih rendah kepada parit besar yang mempunyai paras bumi yang lebih tinggi.

Persoalannya ialah samada pendekatan dan kaedah ini adalah berkesan? Nyatanya bukan kesemuanya berkesan. Malahan ada yang gagal.

Maka, saya memohon agar kerajaan negeri melakukan anjakan paradigma dalam pendekatannya bagi menangani masalah banjir kilat dengan satu konsep pengurusan banjir bersepadu yang merangkumi beberapa elemen utama seperti, mengurus kitaran air secara satu proses keseluruhan, dua, pengurusan tanah dan air yang bersepadu, ketiga, mengurus risiko dan ketidaktentuan, keempat, menggunakan satu strategi bercampur, kelima, memastikan satu pendekatan participasi dan keenam, menggunakan pendekatan pengurusan bersepadu tentang keadaan merbahaya. Kita tidak harus menggunakan pendekatan yang fragmeted.

Saya percaya dengan adanya pendekatan secara bersepadu, langkah-langkah yang diambil oleh kerajaan negeri bagi mengatasi masalah banjir kilat akan lebih berkesan kerana ia lebih menyeluruh dan merangkumi kesemua aspek.

Dato’ Speaker,

Isu yang ingin saya bangkit ini ialah isu penyewaan rumah kos rendah, samada ia disewa kepada orang tempatan yang lain atau pekerja warga asing. Menurut jawapan kepada soalan saya, bahawa tidak ada peruntukan undang-undang yang spesifik untuk regulate pemilik rumah kos rendah daripada menyewa rumahnya kepada orang lain. Dan dalam jawapan itu juga mengaku bahawa fenomena penyewaan ini adalah disebabkan antaranya kes pemalsuan maklumat terutamanya tentang pendapatan dan juga status perkahwinan.

Maka, di sini, saya berharap bahawa pihak kerajaan negeri dapat mengkaji semula mekanisme permohonan bagi memastikan mereka yang ditawarkan rumah kos rendah adalah pemohon yang layak dan memerlukan.

Dato’ Speaker,

Di sini juga saya bangkitkan tentang isu perancangan perbandaran. Setiap sesi Dewan, saya sering kemukakan soalan tentang perkembangan terkini penyediaan Rancangan Tempatan iaitu Local Plan yang akan mengandungi maklumat jenis pembangunan setiap lot tanah.

Namun demikian, jawapan di setiap sesi Dewan yang saya perolehi hanya menunjukkan perkembangan yang amat perlahan.

Saya memohon agar penyediaan Local Plan ini dapat dipercepatkan kerana saya percaya dan yakin bahawa dengan adanya Local Plan ini, isu-isu sampingan yang timbul akibat buffer zon tidak mencukupi di antara kawasan perumahan dan kawasan perindustrian, dan juga di antara kawasan perumahan dan perternakan dapat kita kawal.

Dato’ Speaker,

Seterusnya, saya ingin mengucap Selamat Hari Kebebasan Akhbar Sedunia kepada mereka yang bukan sahaja mengambil berat tentang kebebasan akhbar, dan juga mereka yang mendukungi prinsip kebebasan akhbar.

Terdapat dua perkara yang menyedihkan kita pada Hari Kebebasan Akhbar Sedunia, iaitu satu, menurut satu kajian oleh Freedom House menunjukkan ranking kebebasan akhbar Malaysia telah turun ke tangga ke 143 daripada 196 buah negara dan kedua, ialah pemecatan presiden Kesatuan Wartawan Kebangsaan, Encik Hata Wahari oleh Utusan Malaysia atas alasan Encik Hata telah merosakkan imej Utusan Malaysia kerana Encik Hata telah memberi komen sebagai pemberita Utusan Malaysia terhadap dasar editor Utusan Malaysia yang cenderung dengan unsur perkauman.

Kebebasan akhbar merupakan sebahagian elemen kebebasan maklumat. Sekiranya akhbar tidak bebas, ini bermakna orang awam tidak akan memperolehi maklumat yang tepat dan menyeluruh. Dan kebiasaannya, negara yang tidak demokrasi semestinya akhbarnya tidak bebas, maklumat yang diterima oleh rakyat jelatanya telah pun ditapis dan sering didoktrinasikan dengan nilai-nilai yang akan menjaga kepentingan sesetengah pihak. Maka,

Menyedari kebebasan maklumat itu adalah satu elemen yang penting dalam proses pendemokrasian, kerajaan negeri Pakatan Rakyat Pulau Pinang telah mengambil langkah untuk menggubal Undang-undang Kebebasan Maklumat yang bertujuan untuk memastikan pentadbiran kerajaan negeri menjadi lebih telus dan pentadbiran lebih telus semestinya akan meningkat kecekapannya.

Meskipun rang undang-unsnag kebebasan maklumat tersebut masih di peringkat Jawatankuasa Pilihan Dewan dan masih belum diluluskan di dalam dewan ini, saya yakin undang-undang kebebasan maklumat ini akan membukakan ruang demokrasi di negeri Pulau Pinang ini.