Wednesday, May 11, 2011

Ucapan Penggulungan oleh Lydia Ong Kok Fooi

UCAPAN PENGGULUNGAN PORTFOLIO BELIA DAN SUKAN, WANITA, KELUARGA DAN KOMUNITI


UCAPAN PENGGULUNGAN OLEH Y.B. PUAN ONG KOK FOOI SEMPENA MESYUARAT YANG PERTAMA BAGI PENGGAL KEEMPAT DEWAN UNDANGAN NEGERI PULAU PINANG YANG KEDUA BELAS


Yang Berhormat Dato’ Speaker,
Ahli-ahli Yang Berhormat.

Terlebih dahulu, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Dewan yang mulia ini kerana memberi peluang kepada saya untuk membentangkan ucapan penggulungan berkaitan isu-isu Belia dan Sukan, Wanita, Keluarga dan Komuniti yang dibangkitkan semasa Perbahasan Ucapan Terima Kasih Kepada Tuan Yang Terutama Yang Di-Pertua Negeri.

Saya juga mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah kepada Tuan Yang Terutama Yang Di-Pertua Negeri di atas perlantikan semula beliau sebagai Yang Di-Pertua Negeri Pulau Pinang.

Sukan

Yang Berhormat Dato’ Speaker,

Sukacita saya ingin menjawab soalan tambahan daripada Yang Berhormat Dato’ Keramat berkaitan isu prestasi Pasukan Bola Sepak Pulau Pinang yang kurang memuaskan sejak kebelakangan ini. Sebagai makluman, pengurusan Pasukan Bola Sepak negeri terletak di bawah bidang kuasa Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP). Walau bagaimanapun, Kerajaan Negeri sentiasa membantu FAP sebagai usaha meningkatkan semula prestasi pasukan bola sepak. Antara bantuan yang telah disalurkan ialah membenarkan pihak FAP menggunakan kemudahan gimnasium dan mendapat khidmat Jurulatih Kecergasan di bawah Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang (MSNPP). Kerajaan Negeri juga menggalakkan jurulatih-jurulatih FAP mengikuti kursus Skim Pensijilan Kejurulatihan Kebangsaan, Tahap 1 dan 2 yang dikendalikan oleh MSNPP untuk meningkatkan kualiti kejurulatihan dari segi sains sukan. MSNPP pula sentiasa membantu serta melaksanakan Program Penyediaan Atlet pada setiap Kejohanan Sukan Malaysia termasuk pasukan bola sepak. Pemain-pemain yang berpotensi di peringkat Sukan Malaysia, berpeluang diserapkan ke dalam pasukan bola sepak negeri. Untuk membantu pihak FAP dari segi kewangan pula, penyewaan Stadium Negeri Batu Kawan Pulau Pinang dikenakan pada kadar yang minimum untuk setiap perlawanan iaitu pada kadar RM825.00 untuk penggunaan stadium pada waktu petang dan RM3,000.00 untuk penggunaan pada waktu malam. Saya berharap kepada sesiapa yang memegang jawatan tinggi di dalam persatuan-persatuan sukan mestilah menjalankan tugas dengan dedikasi dan menjalankan tindakan proaktif untuk memartabatkan mutu sukan persatuan masing-masing.

Kerajaan Negeri melalui MMK Belia dan Sukan menekankan dasar pembangunan sukan yang berteraskan “Healthy Active Lifestyle Towards Harmonious Community” – Dengan izin YB Dato Speaker. Melalui dasar ini, boleh dilihat bahawa usaha Kerajaan Negeri untuk mengurangkan “Carbon Footprint” amatlah berjaya dengan kejayaan perlaksanaan pelbagai program basikal bermula dari Disember 2008 untuk Sukan Berbentuk Participatif. Masyarakat Pulau Pinang kini mula melibatkan diri dengan aktiviti sukan berbasikal yang sihat melalui pelbagai program-program berbasikal yang dilaksanakan sepanjang tahun. Salah satu program yang berjaya mendapat sambutan memberansangkan adalah Malakoff Interstate Fellowship Ride yang membolehkan penunggang basikal merentasi 3 buah negeri di Utara Semenanjung Malaysia iaitu Pulau Pinang, Kedah dan Perak. Selain itu, ekonomi dan perniagaan basikal juga berkembang pesat melalui usaha-usaha pengurangan “Carbon Footprint” yang dilaksanakan dan juga pengenalan kepada Penang Kalender of Events yang dikeluarkan oleh MMK Belia dan Sukan bersama dengan Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang. Melalui sukan berbentuk participative sports ini, masyarakat dari pelbagai lapisan kaum dan bangsa telah berpeluang untuk bersama-sama menjalani kehidupan yang sihat dan aktif setiap masa.

Yang Berhormat Dato’ Speaker,

Belia

Yang Berhormat Dato’ Speaker,

Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Yang Berhormat Bertam kerana memberi cadangan positif kepada saya untuk pembangunan belia. Saya akan memberikan senarai aktiviti yang dikelolakan di bawah Majlis Belia Negeri Pulau Pinang terutamanya di kawasan SPU kepada Yang Berhormat untuk diwar-warkan kepada belia di Seberang Perai Utara. Bagi memantapkan pembangunan belia di negeri ini, pelbagai program dan initiatif telah dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri. Kerajaan Negeri telah mengorak langkah untuk bekerjasama dengan Majlis Belia Negeri Pulau Pinang (MBNPP) dan semua pertubuhan belia tanpa mengambilkira fahaman politik. Di bawah MNBPP sahaja terdapat sebanyak 23 buah badan gabungan yang aktif dengan pelbagai program-program belia. Justeru, bantuan kewangan daripada Kerajaan Negeri kepada MBNPP sebanyak RM150,000.00 setahun pada tahun 2008 telah dinaikkan kepada RM300,000.00 pada mulai tahun 2010 sehingga kini bagi tujuan menjalankan program-program pembangunan belia termasuk program-program berteraskan pembangunan sahsiah dan kerohanian.

Antara program-program belia yang telah dianjurkan oleh Kerajaan Negeri dengan kerjasama pertubuhan belia ialah Karnival Hari Belia, Kempen Belia Anti Jenayah, Program Khidmat Masyarakat dan Program Motivasi yang menggalakkan pembangunan modal insan, semangat muhibbah dan perpaduan kaum di kalangan belia. Kerajaan Negeri juga telah mewujudkan platform kepada belia untuk mengenengahkan bakat mereka seperti penganjuran I-Dance International Street Dance Championship dan pertandingan Battle of The Bands.

Kerajaan Negeri turut memberi penekanan yang seimbang untuk menggalakkan pembangunan belia melalui sukan berbentuk participative sports. Kejayaan terbesar yang telah dicapai oleh Kerajaan Negeri adalah melalui penganjuran kejohanan sukan bertaraf antarabangsa seperti Kejohanan Angkat Berat Junior Komanwel, 3 Nation Charity Rides, Pertandingan Skimboarding Antarabangsa, Pertandingan Skuash Junior Antarabangsa dan Kejohanan Jemputan Bola Keranjang Cina Dunia Yang Ke-25 (25th World Chinese Basketball Invitational Tournament) pada tahun 2009. Program kesukanan yang dibangunkan oleh Kerajaan Negeri juga mementingkan ciri-ciri pemeliharaan alam sekitar melalui program-program berbasikal antaranya Merdeka Ride 2009, Go Green and Gold Ride, Kayuh Lasak, KWYP 100 Years Round Island Cycling, Campaign For Bicycle Lane Come Ride with CM dan Malakoff Interstate Fellowship Ride.

Wanita, Keluarga dan Komuniti

Yang Berhormat Dato’ Speaker,


Bagi menjawab soalan tambahan daripada Yang Berhormat Tanjung Bunga berkaitan hak golongan transgender, Kerajaan Negeri berterima kasih dan berasa bangga atas usaha Yang Berhormat yang prihatin terhadap alam sekitar dan hak-hak asasi manusia dari segi kesaksamaan gender. Kerajaan Negeri Pulau Pinang merupakan kerajaan berjiwa rakyat dan sentiasa memperjuangkan dasar-dasar kesaksamaan gender. Kerajaan Negeri tidak mengabaikan kebajikan mana-mana golongan jantina, kaum atau individu yang mempunyai latarbelakang politik yang berbeza. Kerajaan Negeri juga sentiasa mempertahankan hak setiap individu yang tergolong dalam jantina yang diiktiraf oleh Perlembagaan Persekutuan tanpa mengira sama ada dari golongan majoriti atau minoriti. Justeru, Kerajaan Negeri memberi jaminan bahawa setiap penduduk di negeri ini tidak akan dipinggirkan dari arus pembangunan dan bebas menjalani kehidupan masing-masing selagi ianya tidak bertentangan dengan undang-undang dan budaya murni masyarakat di negara ini.

Berkenaan dengan aspek pembangunan golongan wanita, sumbangan serta peranan wanita sememangnya dititikberatkan oleh Kerajaan Negeri. Malahan MMK Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti Negeri Pulau Pinang melalui dasar-dasar yang dipegang amat menjurus kepada membela nasib wanita terutamanya ibu tunggal dan meningkatkan taraf ekonomi wanita Negeri Pulau Pinang serta menyokong kaum wanita untuk terus bekerjaya serta mencapai kegemilangan dalam profesion yang diceburi.

Ini terbukti dengan perlantikan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Pulau Pinang, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Seberang Perai, Pegawai Daerah dan Tanah Seberang Perai Selatan yang merupakan golongan wanita yang telah menunjukkan kegemilangan serta dedikasi yang padu dalam bidang diceburi. Tahniah dan syabas kepada kedua-dua YDP ini dan Pegawai Daerah dan Tanah SPS.

Dalam usaha untuk memajukan wanita khususnya mereka yang berada di luar bandar, Kerajaan Negeri sememangnya berusaha gigih untuk meluaskan peluang-peluang membantu golongan wanita. Seperti yang diketahui, dibawah MMK Pembangunan Wanita, saya tidak mempunyai jentera atau dengan izin YB Dato Speaker – sebuah ”Machinery Wanita” untuk membantu saya. Buat masa ini saya hanya bergantung kepada kerjasama erat bersama dengan NGO-NGO Wanita yang bersama-sama untuk berganding bahu dengan Kerajaan Negeri dalam MMK Wanita.

Sejak tahun 2008, saya tidak pernah menerima tawaran bantuan daripada machinery Kerajaan Pusat ini untuk membantu Kerajaan Negeri melaksanakan program pembangunan wanita di negeri Pulau Pinang.

Memandangkan tanpa adanya bantuan dari machinery Kerajaan Pusat ini, Kerajaan Negeri telah berjaya menubuhkan Persatuan Untuk Tadbir Urus Baik dan Kesaksamaan Gender Pulau Pinang (3Gs) dengan kerjasama NGO-NGO Wanita seperti KANITA, WCC, JAMAAH ISLAH MALAYSIA, NCWO dan seterus untuk bersama di bawah Jawatankuasa MMK Wanita, Keluarga dan Komuniti bagi melaksanakan dasar-dasar kesaksamaan gender dalam isu-isu rumahtangga, kerjaya, sosial dan sebagainya yang seterusnya akan diterapkan ke dalam program-program yang dilaksanakan. Sebagai langkah memperkasakan golongan hawa, Kerajaan Negeri melalui 3Gs telah menganjurkan Persidangan Antarabangsa Gender Mainstreaming – Justice For All untuk mewujudkan Blueprint Pembangunan Wanita sebagai panduan kepada Kerajaan Negeri. Persidangan ini telah berjaya mengundang penceramah-penceramah terkenal seperti (1) Puan Judy Cheng yang memegang jawatan Pembantu Setiausaha Agung Peace Building Support di United Nation, (2) Yang Berbahagia Dato’ Latifah Merican iaitu Penasihat Kepada Pejabat Pengarah Suruhanjaya Keselamatan Malaysia dan pernah menyandang jawatan tinggi dalam Bank Dunia di Washington, (3) Dr. Khoon Hoon Eng selaku pensyarah di National University Singapore dan pernah berkhidmat sebagai rector di Asian University untuk Wanita (AUW) di Bangladesh, (4) Puan Ramlah Bee dan Puan Lim Kah Cheng selaku Ahli Majlis dari Majlis Perbandaran Pulau Pinang, (5) Professor Rashidah Shuib selaku Pengarah Pusat Penyelidikan Pembangunan Wanita (KANITA), Universiti Sains Malaysia dan (6) Dr. Lesley Clark selaku Pengarah Equity and Diversity di Universiti James Cook.

Kerajaan Negeri melalui 3Gs juga telah mengadakan Gender Responsive Budgeting Workshop pada 21 hingga 23 Februari 2011 yang bertujuan untuk meningkatkan kesedaran agar perspektif gender diambil perhatian serius oleh Kerajaan di dalam perancangan pembangunan dan peruntukan sumber kewangan. Program ini akan diadakan buat kali kedua pada bulan Jun 2011.

Sehubungan itu, saya memohon sekiranya YB Teluk Ayer Tawar selaku Pengerusi Jabatan Pembangunan Wanita Negeri Pulau Pinang untuk bersama membangunkan golongan wanita secara bersama dengan Kerajaan Negeri Pulau Pinang tanpa mencampurkan adukkan parti politik yang berbeza ataupun perbezaan antara Jabatan Persekutuan ataupun agensi Negeri. Demi pembangunan wanita secara bersama, perlulah kita berseiringan untuk membela nasib kaum wanita di Negeri Pulau Pinang.

Untuk membantu golongan ibu tunggal dan wanita dari keluarga miskin, Kerajaan Negeri melalui kerjasama Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) dan Pusat Penyelidikan Pembangunan Wanita (KANITA), Universiti Sains Malaysia telah menyediakan Tabung Titian Saksama Rakyat (PTSR) yang memberi pinjaman perniagaan kecil. Ini bermakna, selain berusaha memastikan peluang pekerjaan terbuka untuk wanita, Kerajaan Negeri juga membela nasib wanita yang menyara kehidupan melalui perniagaan kecil.

Merujuk kepada persoalan YB Teluk Ayer Tawar berkenaan dengan peruntukan yang disalurkan untuk perlaksanaan dan penganjuran program-program dibawah MMK Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti. Jumlah sebanyak RM800,000 yang diperuntukan oleh Kerajaan Negeri digunakan untuk tujuan pembangunan wanita, keluarga dan komuniti di negeri Pulau Pinang secara menyeluruh.

Peruntukan ini bukan sahaja digunakan untuk menguruskan operasi dan pembayaran gaji tenaga kerja di Pusat Jagaan Kanak-kanak (PJKK) tetapi juga digunakan untuk membiayai pelbagai program-program yang dianjurkan sepanjang tahun bersama dengan NGO-NGO wanita di negeri ini.

Peruntukan tersebut turut digunakan untuk membiayai Pertubuhan Wanita Seberang Perai yang diusahakan bersama dengan Women’s Centre for Change (WCC) sebanyak RM150,000.00 dan Persatuan Tadbir Urus Baik dan Kesaksamaan Gender (3Gs) sebanyak RM200,000.00. Ia juga meliputi pelbagai program-program kewanitaan dan kekeluargaan yang dianjurkan sepanjang tahun bersama dengan NGO-NGO wanita Negeri Pulau Pinang.


Hasil daripada peruntukan yang diperolehi ini, Kerajaan telah berjaya menubuhkan 2 Pusat Jagaan Kanak-kanak iaitu di Daerah Timur Laut di Bangunan Balai Rakyat Padang Tembak, Air Itam dan Pusat Jagaan Kanak-kanak Daerah Seberang Perai Tengah di Taman Serumpun, Berapit, Bukit Mertajam.

Pusat jagaan kanak-kanak ini tidak berfungsi sebagai sebuah tadika, ia sebenarnya merupakan sebuah pusat asuhan yang didirikan untuk menjaga kanak-kanak yang berumur diantara 7 hingga 12 tahun atau dari Darjah 1 hingga Darjah 6. Yuran minima yang dikenakan adalah sebanyak RM50 sebulan dan bagi ibu-ibu tunggal ataupun keluarga yang tidak berkemampuan, kerajaan akan memberi pengecualian bayaran dan tertakluk kepada “Case-to-Case Basis”, dengan izin YB Dato Speaker.

Pusat jagaan ini berfungsi sebagai sebuah pusat asuhan yang membantu ibu-ibu tunggal yang bekerja dengan penyediaan sebuah pusat asuhan yang dapat menjaga anak-anak mereka semasa para ibu keluarga mencari nafkah atau bekerja.

Kewujudan Tadika-Tadika seperti Kemas atau Tabika Perpaduan yang menawarkan yuran yang rendah sememangnya amat dialu-alukan. Malahan saya suka hati melihat Kerajaan Persekutuan dapat mewujudkan institusi pendidikan pra-sekolah yang membantu masyarakat di Malaysia. Ini ialah tanggungjawab sesebuah Kerajaan kepada rakyatnya.

Penubuhan pusat jagaan kanak-kanak ini tidak mengambil alih fungsi tadika Kemas dan Tabika Perpaduan ini, sebaliknya fungsi pusat jagaan kanak-kanak ini adalah berbeza dan merupakan penambahbaikkan untuk membantu golongan masyarakat terutamanya golongan ibu tunggal dan keluarga berpendapatan rendah.

Yang Berhormat Dato Speaker,

Penubuhan Pusat Perkhidmatan Wanita di Seberang Perai Tengah adalah hasil kerjasama yang dijalin oleh Kerajaan Negeri bersama dengan Women Centre for Change (WCC) untuk membantu wanita-wanita yang memerlukan bantuan baik dari segi kaunselling, khidmat nasihat perundangan ataupun perlindungan penempatan.

Sejak Pakatan Rakyat mengambilalih Kerajaan Negeri Pulau Pinang, dibawah MMK Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti, saya memberi penekanan untuk bekerja secara bersama dengan semua NGO-NGO Wanita. Persatuan-persatuan ini lah yang bersama-sama dengan saya sebagai pengerak pembangunan wanita di negeri Pulau Pinang. Saya telah menjemput ahli-ahli persatuan ini untuk bersama dengan saya di dalam jawatankuasa MMK Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti untuk bersama merancang dan melaksanakan pembangunan-pembangunan yang difikirkan sesuai dan perlu untuk golongan wanita, keluarga dan komuniti di negeri Pulau Pinang. Saya sememangnya amat berterima kasih kepada persatuan-persatuan ini kerana tanpa bantuan mereka, pembangunan yang dijalankan tidak akan berfungsi dengan sempurna.

Malahan, pintu ini turut dibukakan kepada YB Bertam dan YB Teluk Ayer Tawar untuk bersama merancang pembangunan ini secara bersama. Saya amat mengalu-alukan pendapat serta cadangan daripada semua termasuklah perancangan-perancangan yang melibatkan peruntukan Kerajaan Negeri ataupun Kerajaan Pusat demi memartabatkan pembangunan golongan wanita di negeri Pulau Pinang.


Yang Berhormat Dato Speaker,

Melihatkan kepada kekurangan kemudahan, pengerak dan tenaga manusia yang mencukupi untuk melaksanakan program pembangunan wanita dan keluarga secara besar-besaran dan menyeluruh di seluruh Negeri Pulau Pinang, MMK Pembangunan Wanita tidak pernah berputus asa atau putus harapan. Sebaliknya, Kerajaan Negeri mengambil iktibar untuk membentuk kesedaran serta memupuk kefahaman masyarakat akan pentingnya memupuk kesedaran untuk membendung gejala-gelaja negatif dan tidak sihat terutamanya yang melibatkan jenayah seksual, dan penganiayaan kanak-kanak.


Pada 19 Mac 2011 yang lalu, Kerajaan Negeri melalui kerjasama dengan pihak Kempen Rakyat Pulau Pinang iaitu sebuah gerakan untuk meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap usaha membanteras gejala penderaan dan penganiayaan terhadap golongan wanita dan kanak-kanak. telah bekerjasama menganjurkan Program Jom Jalan Bersama : Hentikan Jenayah Seksual Kanak-Kanak. Program ini telah mendapat sambutan yang amat menggalakkan di kalangan peserta-peserta serama 1500 orang yang hadir bersama keluarga masing-masing.


Akhir kata, saya amat berterima kasih kepada semua pihak termasuk jabatan dan agensi-agensi kerajaan yang tanpa penat lelah membantu Kerajaan Negeri untuk melaksanakan program-program sukan, belia dan wanita yang sihat dan aktif kepada rakyat Negeri Pulau Pinang.

Yang Berhormat Dato Speaker,

Saya mohon menyokong.

Sekian, terima kasih.
Post a Comment