Wednesday, May 11, 2011

Ucapan Penggulungan oleh TKM1

UCAPAN PENGGULUNGAN TIMBALAN KETUA MENTERI 1 MERANGKAP PENGERUSI JAWATANKUASA MMK PERDAGANGAN ANTARABANGSA & PEMBANGUNAN INDUSTRI, KOPERASI DAN PERHUBUNGAN MASYARAKAT

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera,

Yang Berhormat Dato’ Speaker,
Ahli-ahli Yang Berhormat,

Izinkan saya untuk mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan berbanyak terima kasih kepada semua Ahli-ahli Yang Berhormat yang telah mengambil bahagian dalam perbahasan ke atas Ucapan Tuan Yang Terutama Yang Di Pertua Negeri Pulau Pinang yang melibatkan portfolio saya.

Saya selaku Pengerusi Jawatankuasa MMK Perdagangan Antarabangsa & Pembangunan Industri, Koperasi dan Perhubungan Masyarakat akan menggulung persoalan-persoalan yang ditimbulkan oleh Ahli-Ahli Yang Berhormat berkaitan portfolio ini.

Pertama, izinkan saya menjawab soalan yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat ADUN Tanjong Bunga yang membangkitkan mengenai cadangan supaya Kerajaan Negeri mewujudkan mekanisme bagi memberi pendedahan berkenaan zon industri antara negara-negara Indochina kepada usahawan-usahawan / peniaga di Pulau Pinang tentang peluang-peluang perniagaan yang boleh diceburi.

Kerajaan Negeri melalui Invest Penang sering menggalakkan pelabur-pelabur tempatan dan luar negara untuk melabur di Pulau Pinang melalui pelbagai kaedah dan terbukti bahawa melalui usaha gigih Kerajaan Negeri, Kerajaan Persekutuan dan tidak lupa juga pegawai dari Invest Penang telah berjaya meletakkan Pulau Pinang sebagai jaguh pelaburan 2010 dengan jumlah pelaburan sebanyak RM 12.24 Billion. Pada masa yang sama, Pulau Pinang telah pada tahun 2010 mencatatkan jumlah export sebanyak RM162.8657 Billion, dimana jumlah ini menyumbang sebanyak 25.469 % kepada jumlah export Malaysia pada tahun 2010 sebanyak RM 639.428 Billion. Sebagai sebuah negeri dengan penduduk hanya 5.8 % daripada jumlah penduduk Malaysia tetapi menyumbang sebanyak 25.469 % kepada jumlah export negara pada tahun 2010 merupakan satu kebangaan negeri ini. Oleh yang demikian Kerajaan Negeri akan lebih menitik beratkan sector pelaburan dan, juga pada masa yang sama mencari jalan untuk mengukuhkan sector perdagangan melalui pelbagai kaedah seperti :-

i. Mensasarkan dan menarik minat industri strategik negara luar supaya mengembangkan serta menempatkan operasi mereka di Pulau Pinang melalui misi pelaburan ke Luar Negara seperti Singapura, Taiwan, Amerika Syarikat, Hong Kong dan Korea untuk menerokai peluang usaha sama dan potensi pelaburan;

ii. Mempromosikan aktiviti-aktiviti yang bernilai tambah lebih tinggi (high value added activities) serta membantu syarikat-syarikat yang sedia ada di Pulau Pinang untuk melabur dalam aktiviti tambah nilai berteknologi tinggi dengan menyediakan infrastruktur serta tenaga kerja yang diperlukan dan berkemahiran; dan

iii. Mengambil bahagian dalam pameran antarabangsa melalui penyewaan ruang pameran sebagai salah satu usaha untuk mencari pelaburan baru serta peluang-peluang perniagaan.

Namun begitu, untuk makluman Y.B. Adun Tanjong Bunga, Kerajaan Negeri akan mempertimbangkan cadangan bagi mewujudkan mekanisme serta memberi pendedahan kepada usahawan-usahawan tempatan untuk meneroka pasaran baru di luar negara yang dapat meningkatkan eksport Pulau Pinang. Ini juga akan meningkatkan pengaliran masuk matawang asing dan sekaligus dapat membangunkan ekonomi serta memperkukuhkan daya saing syarikat tempatan / IKS.

Yang Berhormat Dato’ Speaker,

Seterusnya, Yang Berhormat ADUN Sungai Acheh telah membangkitkan mengenai pelantikan ahli JKKK samada berlandaskan latar belakang politik.

Seperti yang sedia maklum, JKKK merupakan badan perantaraan antara Kerajaan Negeri dan rakyat di peringkat masyarakat setempat yang bertindak sebagai pelaksana pelan strategik untuk mencapai wawasan komuniti masing masing-masing. Kerajaan negeri berpandangan JKKK merupakan mekanisme penting dalam menjadi penghubung antara kerajaan dan rakyat. Justeru, kerajaan negeri telah menambah bilangan JKKK kepada 289 unit. Ini adalah bagi memastikan agar perkhidmatan JKKK akan lebih berkesan dan mampu memberikan perkhidmatan yang lebih baik kepada rakyat. Dalam masa yang sama JKKK juga diberikan pelbagai latihan dan kursus untuk melengkapkan JKKK dengan pelbagai kemahiran bagi menyediakan mereka untuk berkhidmat kepada rakyat.

Keanggotaan ahli JKKK adalah dihadkan kepada 15 orang ahli yang termasuk pengerusi dan setiausaha. Pencalonan keahlian JKKK dilakukan berdasarkan Garis Panduan Manual Gerak Kerja JKKK Negeri Pulau Pinang yang telah menetapkan pencalonan haruslah merangkumi wanita, belia dan masyarakat berbilang kaum serta terdiri daripada pemimpin-pemimpin masyarakat. Sebagai contoh pencalonan haruslah dari kalangan persatuan penduduk, rukun tetangga dan jawatankuasa masjid. Ahli JKKK juga perlu dipilih daripada penduduk yang bermastautin tetap di kawasan JKKK berkenaan.

Proses pencalonan pada peringkat awal mengambil kira cadangan daripada YB ADUN kawasan, Penyelaras KADUN atau Pengerusi JKKK yang kebiasaannya calon tersebut terdiri daripada wakil parti politik, badan pertubuhan sukarela, badan bukan kerajaan (NGO) dan orang perseorangan yang dihormati dalam sesebuah kelompok masyarakat. Keutamaan diberikan berdasarkan calon yang dicadangkan oleh YB ADUN kawasan dan Penyelaras KADUN bagi JKKK berkenaan.

Pemilihan ahli JKKK juga menekankan aspek “cross section” atau kepelbagaian lapisan masyarakat yang tinggal di kawasan tersebut.

Tempoh perkhidmatan bagi seseorang ahli JKKK maksimum selama 2 tahun. Tempoh ini boleh dilanjutkan dengan perakuan daripada Jawatankuasa Pemilihan JKKK Peringkat Daerah. Perkhidmatan ahli JKKK ini adalah secara sukarela dan akan dibayar elaun berdasarkan kedatangan ke mesyuarat bulanan JKKK.

Yang Berhormat Dato’ Speaker,

Ketiga, Yang Berhormat ADUN Bertam telah memohon perjelasan mengenai perkembangan cadangan pelaburan oleh syarikat dari Korea sebanyak RM100 juta bagi pembinaan Padang Golf di Batu Kawan.

Setelah membuat kajian bisnes ekoran krisis ekonomi awal 2009, pelabur daripada syarikat Korea tersebut telah memutuskan untuk menangguhkan cadangan ini.



Yang Berhormat Dato’ Speaker,

Keempat, izinkan saya menjawab soalan daripada Yang Berhormat ADUN Pulau Tikus yang telah mencadangkan agar PITO Office ditubuhkan di beberapa negara lain antaranya di China, India & Vietnam bagi meningkatkan jumlah pelaburan ke Pulau Pinang.

Kerajaan Negeri melalui InvestPenang akan mengambil perhatian terhadap cadangan penubuhan Pejabat PITO di negara-negara lain selain daripada Singapura. Mengikut data Provisional yang diperolehi oleh Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN). export Pulau Pinang ke China pada tahun 2010 berjumlah sebanyak RM34.793 Billion manakala export Pulau Pinang ke India pada tahun 2010 berjumlah RM 2.706 Billion dan export Pulau Pinang ke Vietnam pada tahun 2010 berjumlah RM1.675Billion. Ini jelas menunjukkan bahawa antara tiga buah negara yang dicadangkan oleh Yang Berhormat Pulau Tikus, negara China berpotensi untuk penubuhan Pejabat PITO.

Yang Berhormat ADUN Pulau Tikus juga turut mencadangkan agar KOMTAR dijadikan sebagai pusat pelaburan asing di Pulau Pinang.

Pusat pelaburan asing perlu ditubuhkan berdekatan dengan kawasan perkilangan dan perindustrian. Ini adalah untuk memudahkan pelabur-pelabur untuk memperolehi maklumat-maklumat berkaitan dengan perkilangan dan perindustrian, serta memudahkan rantaian bekalan (supply chain) bagi pelabur tersebut. Oleh itu buat masa ini, mengikut pandangan Invest Penang belum ada cadangan untuk menjadikan KOMTAR sebagai pusat pelaburan asing di Pulau Pinang.
Post a Comment