Monday, July 25, 2011

KENYATAAN MEDIA YB ABDUL MALIK KASSIM - Kerajaan PR P.Pinang membela semua kaum

KENYATAAN MEDIA

25 Julai 2011


Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat Pulau Pinang Membela Semua Kaum,

Tidak Pinggirkan India Muslim



Selain memperkenal dan mengamalkan urustadbir Cekap, Akauntabiliti dan Telus (CAT), Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat Pulau Pinang terus mendokong prinsip pentadbiran kerajaan berjiwa rakyat, adil kepada semua kaum.


Demi rakyat – inilah yang membezakan pentadbiran Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat Pulau Pinang yang baru berusia 3 tahun berbanding kerajaan negeri terdahulu yang mengutamakan kroni dan suku sakat sejak lebih 50 tahun. Sebab itu tidak menghairankan, apabila wujud kaum dan kelompok tertentu terus terpinggir.
Biarpun media yang dikuasai Umno Barisan Nasional sentiasa mengelapkan kejayaan demi kejayaan kerajaan negeri, namun hakikatnya rakyat Pulau Pinang khususnya, dapat mengecapi kejayaan dan menghadam manfaat ini bersama-sama.

Kenyataan Presiden KIMMA Kebangsaan, Senator Datuk Syed Ibrahim Kader dalam akhbar Sinar Harian bertarikh 25 Julai 2011, yang kononnya masyarakat India Muslim Pulau Pinang terpinggir, hanyalah contoh sikap pemimpin hasil didikan Umno Barisan Nasional. Jika benar apa yang dikatakan, maknanya beliau mengiakan apa yang dilakukan oleh kerajaan terdahulu.

Saya percaya di dalam lubuk hatinya, beliau melihat hakikat bahawa di bawah kerajaan Pakatan Rakyat Pulau Pinang, baik masyarakat India Muslim mahupun mana-mana kaum terus diberi perhatian tanpa diskriminasi.

Saya ingin menasihati Syed Ibrahim, usahlah bersikap mengampu dan membodek dek terhutang budi kerana dilantik sebagai Senator. Janganlah sanggup mengadai prinsip dan maruah diri dengan cuba memporakperandakan keharmonian masyarakat India Muslim di sini.
Hakikatnya sejak 2008, kerajaan negeri memberikan perhatian dan prioriti kepada India Muslim, jauh sekali untuk meminggirkan mereka.

Kerajaan Negeri sentiasa komited memberikan sokongan dan bantuan kepada mana-mana pihak yang memerlukan, termasuk golongan India Muslim yang banyak melibatkan diri dalam Badan Bukan Kerajaan (NGO). Pemimpin kerajaan negeri sentiasa turun padang bersama komuniti India Muslim dan memberikan sokongan kepada mereka.

Selaku Exco Kerajaan negeri saya kerap bertemu dan berbincang baik secara rasmi, mahupun tidak rasmi dengan masyarakat India Muslim. Berbincang dalam pelbagai perkara, baik yang besar mahupun kecil, berkaitan isu agama, masjid dan surau hatta tanah wakaf.
Malah saya sentiasa cuba memenuhi undangan daripada masyarakat India Muslim, meskipun kadang-kadang saya menerima notis jemputan dalam masa singkat.

Program yang diperkenalkan oleh kerajaan negeri, iaitu “Penang World Heritage Celebration” hanyalah sebahagian bukti usaha kerajaan negeri melibatkan masyarakat India Muslim secara langsung dalam memacu kejayaan negeri ini. Masyarakat India Muslim turut menerima manfaat daripada program ini, dan hakikat ini tidak boleh dinafikan oleh Presiden KIMMA.

Begitu juga dengan usaha Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAINPP) yang sentiasa memberi perhatian khusus kepada masalah yang dibangkitkan dan dihadapi oleh komuniti India Muslim.

Malah, kerajaan negeri telah mengadakan banyak pertemuan dan perbincangan dan sentiasa membuka pintu rundingan untuk mendengar pandangan daripada komuniti India Muslim. Hasil pertemuan dan perbincangan tersebut banyak masalah sejak zaman kerajaan terdahulu dapat dirungkai. Hanya segelintir kecil komuniti itu yang berlagak hero menggunakan media memburukkan kerajaan negeri. Golongan itu cuba mencipta isu yang bukan isu sebenarnya.

Perlu saya tegaskan, sebagai sebuah kerajaan berjiwa rakyat, adil kepada semua kaum, demi rakyat -kerajaan negeri sentiasa komited membantu mana-mana pihak tanpa mengira bangsa, agama mahupun fahaman politik.

Pada kesempatan ini, saya mengucapkan ribuan terima kasih atas kehadiran pada sidang hari ini dan mengalu-alukan sokongan aktivis agama masyarakat India Muslim Datuk Thasleem Mohamed Ibrahim, aktivis masyarakat India Muslim Shahul Hamed, Persatuan Muslim Tanjung Nasir Mohidin dan para pengusaha Nasi Kandar Pulau Pinang.