Friday, October 14, 2011

KENYATAAN AKHBAR KONGRES MELAYU PULAU PINANG, (KMPP) BELANJAWAN KALI KE 54 BAGI TAHUN 2011

KENYATAAN AKHBAR KONGRES MELAYU PULAU PINANG, (KMPP)
BELANJAWAN KALI KE 54 BAGI TAHUN 2011


Lanjutan dari belanjawan kali ke 54 bagi tahun 2012 yang diumumkan oleh Y.A.B Perdana Menteri pada 6hb Oktober 2011 secara keseluruhannya membabitkan sejumlah RM232.8 Billion. Perdana Menteri turut mengumumkan Dasar Transformasi Nasional (DTN) bagi menaungi program-program transformasi yang telah dan akan dilaksanakan oleh kearah menjayakan cita–cita mewujudkan bangsa Malaysia yang bersatu dan maju menjelang tahun 2020. Justeru itu maka belanjawan tersebut bertemakan “Dasar Transformasi Nasional Yakni Bajet Membela Rakyat, Mensejahtera Negara”.

Bagi lebih menyakinkan kononnya belanjawan kali ini cuba memberi keselesaan kepada setiap lapisan rakyat daripada golongan–golongan Pemandu Teksi, Nelayan, Warga Emas, Pejawat Awam, Pesara, Golongan wanita, belia hinggalah kepada kalangan Kontraktor dan pelabur serta yang terpenting Peneroka Felda. Dalam ucapannya beliau memaklumkan bahawa Pelaburan Swasta dan Awam dijangka meningkat. Secara puratanya belanjawan 2012 menyediakan peruntukan RM181.6 Billion untuk perbelanjaan mengurus dan RM51.2 Billion untuk perbelanjaan pembangunan.

Pihak KMPP berpandangan jika berpaksikan DTN maka soal kebajikan rakyat lebih-lebih lagi mereka yang menyumbang kearah menjana ekonomi negara harus diberikan keutamaan. Tidak dapat dinafikan bahawa secara praktikalnya bajet tahun 2012 tersebut adalah untuk rakyat yang merangkumi semua kategori. Namun hakikatnya terdapat kecacatan yang boleh dikategorikan sebagai berat sebelah apabila pihak kerajaan hanya menitik beratkan kakitangan awam daripada kakitangan swasta. Presiden cuepacs begitu teruja apabila hampir 80% tuntutan mereka dipersetujui oleh kerajaan. Sejumlah 1.3 juta pejawat awam akan menikmati bayaran bonus, kenaikan gaji, umur pesaraan wajib ke 60 tahun, serta lnsentif untuk melanjutkan pelajaran. Namun pada hakikatnya Presiden Kongres Kesatuan Sekerja (MTUC) meluahkan rasa kecewa setelah pengumuman yang ditunggu tunggu selama ini iaitu mengenai gaji minima sektor swasta tidak disentuh langsung didalam bajet tersebut. Hanya sedikit tempias yang dapat mereka perolehi ialah caruman (KWSP) dinaikkan ke 13 % kepada mereka yang menerima gaji bulanan RM5000.00 dan ke bawah. Namun skim persaraan swasta (SPS) masih menjadi teka teki bilakah ianya akam diumumkan. Begitu juga dengan bayaran elaun sara hidup (COLA) yang pada masa ini dibayar kepada kakitangan awam juga tidak dinikmati oleh pekerja swasta. Perjuangan pihak MTUC bagi mendapatkan gaji minima RM900.00 yang difikirkan mengikut keadaan sekarang adalah relevan memandangkan kenaikan kos sara hidup pada masa kini.



Sebagai NGO Melayu yang Neutral pihak saya berasa hairan apakah sebab kerana 1.3 juta kakitangan awam tersebut yang majorititnya orang Melayu maka golongan ini diberi keutamaan dan sedangkan ramai orang Melayu juga terlibat di sektor swasta dan mengapakah mereka diabaikan? Bagaimana pula dengan mereka yang bukan Melayu disektor swasta dan perlukan dalam isu ini mereka mereka ini dianaktirikan. Sama ada sektor awam mahupun swasta mereka juga bertanggungjawab untuk menjana pertumbuhan ekonomi negara dan oleh itu pihak KMPP berpendapat pelaburan swasta dan awam akan sedikit terencat jika tidak ada keseimbangan dari segi kebajikan yang di jadikan keutamaan oleh pihak kerajaan. Kenyataan kekecewaan oleh pemimpin MTUC haruslah dipandang serius dan diharap kerajaan dapat mengkaji semula tuntutan mereka lebih lagi soal gaji minima tersebut. Pihak kerajaan perlu sedar bahawa segala tuntutan dari pihak MTUC jika diluluskan tidak langsung memerlukan sumber kewangan dari kerajaan. Jadi mengapa mesti ada pertimbangan berat sebelah dalam hal ini.

Timbul tanda tanya apakah kewujudan cuepacs dan MTUC ini yang mempunyai tanggungjawab terhadap ahli-ahli mereka terutamanya soal kebajikan di mana resolusi mereka apabila diketengahkan untuk tujuan penambahbaikkan kepada pihak kerajaan, maka pihak kerajaan hanya akan memihak kepada kakitangan awam sahaja? Dan apakah rasionalnya? Situasi ini dipandang sebagai tidak sihat kepada ekonomi negara kita. Oleh yang demikian pihak KMPP berharap supaya bajet rakyat berkenaan adalah untuk rakyat dan perlu dipastikan saluran pengagihan sumber bajet belanjawan tersebut bebas daripada unsur rasuah serta unsur kronisma. Sesungguhnya bajet 2012 adalah bagi meningkatkan keyakinan rakyat Malaysia terhadap Kerajaan.

Sekian, terima kasih.

KONGRES MELAYU PULAU PINANG
RAHMAD ISAHAK
PRESIDEN, (019-4728509)