Friday, January 27, 2012

KENYATAAN AKHBAR KMPP Isu Tanah Tang Hak Ju

KENYATAAN AKHBAR KONGRES MELAYU PULAU PINANG, (KMPP)

Tarikh: 27hb Januari 2012

Kepada: PIHAK MEDIA TEMPATAN.

Tajuk: ISU TANAH TANG HAK JU, “Barisan Nasional Berhutang kepada Rakyat
Pulau Pinang”.


Kenyataan akhbar ini dibuat oleh pihak KMPP adalah mewakili rakyat Pulau Pinang yang terpaksa menanggung wang pampasan RM500,000.00 akibat daripada kecuaian sehingga menyebabkan penipuan keatas seorang individu yang dikenali sebagai Tan Hak Ju. Keputusan oleh Mahkamah Rayuan pada 10/1/2012 tersebut jelas bahawa Kerajaan Negeri sekarang terpaksa menanggung liabiliti yang ditinggalkan oleh kerajaan terdahulu (Barisan Nasional) dimana rakyat negeri ini harus membuka mata bagaimana rakusnya dan licik pentadbiran Kerajaan sebelum ini sehingga mengheret rakyat negeri ini bersama menyelami kemelut kes ini.

Walaupun pampasan telah dikurangkan dan sekalipun ianya bernilai RM1.00, ianya tetap wang rakyat yang menjadi pembayar cukai. Janganlah pula Pimpinan Barisan Nasional negeri ini cuba berlakon alim sekalipun jumlah asal pampasan tersebut adalah RM40 juta kini telah dikurangkan kepada RM500,000.00, maka kesalahan lampau telah diampuni. Rakyat negeri ini tidaklah semudah itu untuk diperbodohkan atas permainan silap mata politik. Perlu diingatkan bahawa kes tersebut masih ada ruang rayuan. Berkemungkinan Tan Hak Ju akan mengemukakan rayuannya dan terdapat kemungkinan jumlah pampasan berkenaan akan ditambah namun masih menjadi teka-teki.

Dalam senario berkenaan berasaskan kepada fakta kes ada kemungkinan sekiranya mantan Ketua Menteri dan Timbalan Ketua Menteri ketika itu dapat dengan beraninya tampil memberi respon dihadapan Jawatankuasa Siasatan, kemungkinan soal penyelewengan dan penipuan menerusi scandal yang amat kontrovesi itu tidak perlu berpanjangan. Persoalannya kenapa kedua-dua saksi penting berkenaan tidak berani tampil untuk memberi respon kepada Jawatankuasa Siasatan tersebut? Bak kata perpatah “Berani kerana benar dan Takut kerana salah”. Dalam konteks ini rakyat negeri ini perlu membuka mata dan berfikir secara rasional terhadap insiden berkenaan.

Pihak KMPP percaya terdapat transaksi keatas ikatan dokumen tanah berkenaan oleh Pegawai Kerajaan yang bersekongkol dengan pemimpin dalam Kerajaan Barisan Nasional dahulu serta telah menyalahgunakan kedudukan mereka. Maka situasi sebegitu dilihat sebagai amat memalukan. Justeru itu pihak KMPP mendesak agar satu siasatan dapat dijalankan oleh Kerajaan Negeri dan seterusnya mengenakan tindakan terhadap Pegawai Kerajaan terbabit tanpa memilih bulu. Tindakan tersebut amat perlu bagi dijadikan tauladan supaya episod yang sama tidak akan berulang lagi.



Oleh yang demikian, pihak KMPP berharap pemimpin Barisan Nasional Negeri Pulau Pinang terutama sekali Pengerusi Jawatankuasa BN Pulau Pinang iaitu Dato Dr. Teng Hock Nan bertanggungjawab sepenuhnya kepada seluruh rakyat negeri ini keatas pembayaran wang pampasan tersebut. Isu tersebut sudah diputuskan oleh mahkamah bahawa “Subject Matter” merupakan satu kecuaian dan penipuan yang telah ditinggalkan oleh Kerajaan terdahulu. Dalam kenyataan yang tanpa prasangka ini jangan cuba sama sekali untuk mengheret rakyat negeri ini bermain politik licik bagi tujuan menutup kesilapan sendiri.

Pandangan ikhlas pihak KMPP adalah lebih berfaedah bagi pemimpin Barisan Nasional dinegeri ini mencari formula bagaimana untuk meningkatkan populariti mereka demi bagi meraih sokongan rakyat yang semakin terhakis daripada mencari kesilapan orang lain dimana akhirnya memakan diri sendiri. Hentikanlah sandiwara politik demi bagi mengemis simpati daripada rakyat negeri ini. Hero yang sudah kecundang dalam istilah politik hanya dikenang sebagai artifak sejarah sahaja. Apa yang rakyat perlukan adalah sebuah Kerajaan yang dapat menjamin kebajikan mereka dan bukannya mendatangkan liabiliti kepada mereka.


Sekian, terima kasih.

KONGRES MELAYU PULAU PINANG



………………………………
RAHMAD BIN ISAHAK
PRESIDEN KMPP,
(H/P No: 019-472 8509)