Wednesday, March 16, 2011

Press Statement by Abdul Malik on Queensbay Hawkers

KENYATAAN MEDIA

16 MAC 2011



PENIAGA PESISIR PANTAI QUEENSBAY AKAN DIBANTU, TIDAK AKAN DIANIAYA


Sebagai sebuah kerajaan berjiwa rakyat, adil untuk semua kaum, kerajaan negeri Pulau Pinang akan membantu mana-mana pihak tanpa mengira kaum dan fahaman politik. Tiada dalam kamus kerajaan negeri untuk menganiaya mana-mana pihak, kerana itu bertentangan dengan prinsip pentadbiran kerajaan negeri Pakatan Rakyat Pulau Pinang.

Namun, terdapat pihak-pihak tertentu mengambil kesempatan memutarbelit fakta, menabur fitnah dan memainkan isu perkauman sempit bertujuan memburukkan imej kerajaan negeri. Kejadian yang berlaku kepada peniaga dan penjaja van bergerak sekitar Pantai Queensbay, Bayan Baru, pada 15 Mac lalu sebagai contohnya .

Media Utusan Malaysia, menggambarkan berlaku penganiayaan kepada peniaga berkenaan, apabila pihak Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) melarang mereka menjalankan aktiviti perniagaan di sepanjang jalan pesisir pantai Queensbay.

Hakikatnya, selepas mendapat beberapa aduan daripada pengurusan Queensbay Mall dan orang ramai, mengenai kesesakan yang teruk berlaku di sepanjang jalan pesisir pantai Queens Bay, antara lain disebabkan oleh kebanjiran peniaga van bergerak, pihak MPPP telah menempatkan 10 anggota penguatkuasanya setiap hari bermula 1 Mac lalu.

Bukan bertujuan untuk menyaman atau merampas barangan peniaga, tetapi bagi memastikan kelicinan lalu lintas, di samping menjaga kebersihan persekitaran. Pihak berkuasa sememangnya tidak membenarkan sebarang bentuk perniagaan di sepanjang pesisir jalan berkenaan. Lebih-lebih lagi musim cuti sekolah di mana Pulau Pinang dibanjiri pelancong dari dalam dan luar negara yang akan menyumbang kesesakan yang sedia ada.

Saya difahamkan pada 2009, pihak MPPP telah mengedarkan borang kaji selidik kepada para peniaga terbabit, bertujuan untuk menempatkan mereka di sebuah kawasan tertentu, tetapi tidak mendapat maklum balas positif daripada peniaga.

Namun, sebelum kejadian 15 Mac lalu, saya bersama ADUN Pantai Jerjak YB Sim Tze Tze sedang mengadakan perbincangan dengan pihak tertentu untuk membantu menyelesaikan masalah para peniaga tersebut. Setakat ini, perbincangan masih berjalan dengan beberapa alternatif sedang diperhalusi.

Berhubung kenyataan fitnah oleh Aminah Abdullah terhadap saya, dalam Utusan Malaysia 16 Mac 2011, saya mengakui ada menerima panggilan telefon daripada beliau mengenai perkara itu. Sebelum itupun saya telah dimaklumkan oleh salah seorang pegawai saya . Ekoran itu, saya telah menghubungi Setiausaha MPPP, Ir Ang Aing Thye meminta pihaknya menangani perkara itu secara berhemah dan seperti biasa menasihati para peniaga di situ.

Saya menafikan sekeras-sekerasnya, fitnah oleh Aminah yang kononnya saya mengarahkan para peniaga hadir ke Bahagian Pelesenan MPPP semalam ( 15 Mac 2011) untuk menyelesaikan masalah mereka. Saya mempunyai pegawai yang komited dengan tugas membantu rakyat, dan tidak memerlukan seseorang seperti Aminah yang cuba berlagak menjadi hero rakyat, tapi sebenarnya hanyalah seorang yang ‘bancrupt’ politik.

Sebagai sebuah kerajaan berjiwa rakyat, kerajaan negeri tidak akan menganiaya rakyat. Saya akan membantu para peniaga tersebut, dan akan mengadakan pertemuan dengan mereka dalam masa yang terdekat. Ini janji saya dan tekad saya sebagai hamba rakyat Pulau Pinang.

Hj Abdul Malik Kassim