Showing posts with label Abdul Malik. Show all posts
Showing posts with label Abdul Malik. Show all posts

Monday, July 25, 2011

KENYATAAN MEDIA YB ABDUL MALIK KASSIM - Kerajaan PR P.Pinang membela semua kaum

KENYATAAN MEDIA

25 Julai 2011


Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat Pulau Pinang Membela Semua Kaum,

Tidak Pinggirkan India Muslim



Selain memperkenal dan mengamalkan urustadbir Cekap, Akauntabiliti dan Telus (CAT), Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat Pulau Pinang terus mendokong prinsip pentadbiran kerajaan berjiwa rakyat, adil kepada semua kaum.


Demi rakyat – inilah yang membezakan pentadbiran Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat Pulau Pinang yang baru berusia 3 tahun berbanding kerajaan negeri terdahulu yang mengutamakan kroni dan suku sakat sejak lebih 50 tahun. Sebab itu tidak menghairankan, apabila wujud kaum dan kelompok tertentu terus terpinggir.
Biarpun media yang dikuasai Umno Barisan Nasional sentiasa mengelapkan kejayaan demi kejayaan kerajaan negeri, namun hakikatnya rakyat Pulau Pinang khususnya, dapat mengecapi kejayaan dan menghadam manfaat ini bersama-sama.

Kenyataan Presiden KIMMA Kebangsaan, Senator Datuk Syed Ibrahim Kader dalam akhbar Sinar Harian bertarikh 25 Julai 2011, yang kononnya masyarakat India Muslim Pulau Pinang terpinggir, hanyalah contoh sikap pemimpin hasil didikan Umno Barisan Nasional. Jika benar apa yang dikatakan, maknanya beliau mengiakan apa yang dilakukan oleh kerajaan terdahulu.

Saya percaya di dalam lubuk hatinya, beliau melihat hakikat bahawa di bawah kerajaan Pakatan Rakyat Pulau Pinang, baik masyarakat India Muslim mahupun mana-mana kaum terus diberi perhatian tanpa diskriminasi.

Saya ingin menasihati Syed Ibrahim, usahlah bersikap mengampu dan membodek dek terhutang budi kerana dilantik sebagai Senator. Janganlah sanggup mengadai prinsip dan maruah diri dengan cuba memporakperandakan keharmonian masyarakat India Muslim di sini.
Hakikatnya sejak 2008, kerajaan negeri memberikan perhatian dan prioriti kepada India Muslim, jauh sekali untuk meminggirkan mereka.

Kerajaan Negeri sentiasa komited memberikan sokongan dan bantuan kepada mana-mana pihak yang memerlukan, termasuk golongan India Muslim yang banyak melibatkan diri dalam Badan Bukan Kerajaan (NGO). Pemimpin kerajaan negeri sentiasa turun padang bersama komuniti India Muslim dan memberikan sokongan kepada mereka.

Selaku Exco Kerajaan negeri saya kerap bertemu dan berbincang baik secara rasmi, mahupun tidak rasmi dengan masyarakat India Muslim. Berbincang dalam pelbagai perkara, baik yang besar mahupun kecil, berkaitan isu agama, masjid dan surau hatta tanah wakaf.
Malah saya sentiasa cuba memenuhi undangan daripada masyarakat India Muslim, meskipun kadang-kadang saya menerima notis jemputan dalam masa singkat.

Program yang diperkenalkan oleh kerajaan negeri, iaitu “Penang World Heritage Celebration” hanyalah sebahagian bukti usaha kerajaan negeri melibatkan masyarakat India Muslim secara langsung dalam memacu kejayaan negeri ini. Masyarakat India Muslim turut menerima manfaat daripada program ini, dan hakikat ini tidak boleh dinafikan oleh Presiden KIMMA.

Begitu juga dengan usaha Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAINPP) yang sentiasa memberi perhatian khusus kepada masalah yang dibangkitkan dan dihadapi oleh komuniti India Muslim.

Malah, kerajaan negeri telah mengadakan banyak pertemuan dan perbincangan dan sentiasa membuka pintu rundingan untuk mendengar pandangan daripada komuniti India Muslim. Hasil pertemuan dan perbincangan tersebut banyak masalah sejak zaman kerajaan terdahulu dapat dirungkai. Hanya segelintir kecil komuniti itu yang berlagak hero menggunakan media memburukkan kerajaan negeri. Golongan itu cuba mencipta isu yang bukan isu sebenarnya.

Perlu saya tegaskan, sebagai sebuah kerajaan berjiwa rakyat, adil kepada semua kaum, demi rakyat -kerajaan negeri sentiasa komited membantu mana-mana pihak tanpa mengira bangsa, agama mahupun fahaman politik.

Pada kesempatan ini, saya mengucapkan ribuan terima kasih atas kehadiran pada sidang hari ini dan mengalu-alukan sokongan aktivis agama masyarakat India Muslim Datuk Thasleem Mohamed Ibrahim, aktivis masyarakat India Muslim Shahul Hamed, Persatuan Muslim Tanjung Nasir Mohidin dan para pengusaha Nasi Kandar Pulau Pinang.

Friday, June 17, 2011

KENYATAAN MEDIA YB ABDUL MALIK KASSIM, EXCO HAL EHWAL AGAMA PULAU PINANG

KENYATAAN MEDIA

YB ABDUL MALIK KASSIM, EXCO HAL EHWAL AGAMA PULAU PINANG


17 JUN 2011

PEMILIHAN JAWATANKUASA KARIAH MASJID SELURUH PULAU PINANG SESI 2012-2013


Saya selaku Exco Hal Ehwal Agama Kerajaan Negeri Pulau Pinang baru di beritahu melalui telefon oleh Yang Dipertua Majlis Agama Islam Pulau Pinang, bahawa hasil daripada satu pertemuan yang telah diadakan di Istana Negara pagi ini, Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong telah menitahkan pemilihan Jawatankuasa Kariah Masjid ditangguhkan buat sementara waktu. Oleh yang demikian pemilihan yang dijadualkan pada 18 & 19 Jun 2011 iaitu esok dan lusa ditangguhkan.

Kenyataan rasmi akan dibuat setelah Majlis Agama Islam Pulau Pinang mengadakan mesyuaratnya.

KENYATAAN MEDIA YB ABDUL MALIK KASSIM, EXCO HAL EHWAL AGAMA PULAU PINANG

KENYATAAN MEDIA

YB ABDUL MALIK KASSIM, EXCO HAL EHWAL AGAMA PULAU PINANG


16 JUN 2011

ANAK-ANAK KARIAH MAHU PERUBAHAN,

PEMILIHAN AKAN DITERUSKAN



Mesyuarat Agong Pemilihan Khariah Masjid Pulau Pinang yang akan bermula pada 18 Jun ini akan tetapkan diteruskan kerana ia menepati Seksyen 22 (4) Enakmen Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAINPP).

Justeru, kita tidak akan menghalang sekiranya ada mana-mana pihak yang akan mencabar keputusan ini di mahkamah. Silakan, tindakan tersebut akan dianggap cuba berkonfrantasi dengan kerajaan negeri.
Pihak-pihak yang tidak dapat menerima perubahan ke arah yang lebih baik, yang pro rakyat dan menguntungkan umat Islam pastinya tidak akan menerima perubahan ini.

Apabila MAINPP memperkenalkan pemilihan jawatankuasa masjid, pihak-pihak tertentu, khususnya Umno dan NGO yang sealiran dengannya cuba mengeksploitasi isu ini. Malah mereka cuba mengheret Yang DiPertuan Agong dalam isu ini, dengan harapan supaya orang Melayu semakin marah dengan Kerajaan Pakatan Rakyat.

Pada hal tatacara pemilihan ini sahaja yang berubah, jika dahulu dengan cara mengangkat tangan sekarang hendak dibuat ala pilihanraya. Jika dulu dibuat pelantikan tanpa mengambilkira pandangan anak-anak khariah, sekarang kita minta anak-anak khariah mencadangkan jawatankuasa masjid masing-masing kepada MAINPP untuk diperkenankan oleh Yang Dipertuan Agong.

Jelas, Umno mempolitikkan isu ini dengan menfitnah DAP, kononnya parti itu campurtangan dalam urusan pentadbiran Islam negeri ini. Saya tegaskan, ini adalah keputusan MAINPP tanpa ada walau sekelumitnya pun campurtangan oleh pemimpin DAP.

Tidak cukup dengan itu, Umno mengugut dengan mendakwa pemilihan jawatankuasa masjid akan memecahbelahkan umat Islam. Saya yakin seramai 4485 orang yang telah menawarkan diri untuk mengisi 4530 jawatan di 151 daripada 200 buah masjid di 6 daerah di Pulau Pinang bertujuan untuk bersama-sama membantu kerajaan negeri mengimarahkan masjid.

Sebanyak 151 buah masjid akan mengadakan mesyuarat Agong, manakala 34 buah lagi yang mengadakan kompromi di kalangan anak-anak kariah tidak akan mengadakan pemilihan secara mesyuarat agong. Sebanyak 59 jawatan utama tidak akan dipertandingkan. Manakala sebanyak 8 buah masjid tidak menghantar borang pencalonan.

Jelas daripada statistik tersebut terbukti bahawa anak-anak kariah telah bersedia untuk membawa perubahan ke arah yang lebih baik.

Yang enggan berubah hanya Umno. Memang Umno, khususnya pertubuhan Perkasa anti pembaharuan, kerana selama ini mereka berfikiran jumud. Sebab itu setiap pembaharuan yang dibuat oleh selain daripada Umno ia akan ditentang secara melulu, walaupun akhirnya mereka akan meniru.

Kita tentu masih ingat ketika kerajaan Kelantan memperkenalkan hari bekerja selama lima hari seminggu, pemimpin Umno menuduh kerajaan Kelantan malas dan akan merendahkan produktiviti. Namun, tidak berapa lama kemudian kerajaan pusat mengikut jejak langkah yang sama.

Sebenarnya Umno hendak melindung kerja jahat mereka terhadap institusi masjid di bawah kerajaan Barisan Nasional. Pemilihan yang tidak demokratik, ia hanya dipilih oleh pemimpin Umno bukan anak kariah. Perlantikan bukan ahli masjid, yang tidak layak dari segi peribadi untuk mengimarahkan masjid.
Insyaallah selepas ini kita boleh lihat perbezaan masjid di negeri yang ditabdir oleh Umno dan Pakatan Rakyat dari segi pengimarahannya.

Wednesday, March 16, 2011

Press Statement by Abdul Malik on Queensbay Hawkers

KENYATAAN MEDIA

16 MAC 2011



PENIAGA PESISIR PANTAI QUEENSBAY AKAN DIBANTU, TIDAK AKAN DIANIAYA


Sebagai sebuah kerajaan berjiwa rakyat, adil untuk semua kaum, kerajaan negeri Pulau Pinang akan membantu mana-mana pihak tanpa mengira kaum dan fahaman politik. Tiada dalam kamus kerajaan negeri untuk menganiaya mana-mana pihak, kerana itu bertentangan dengan prinsip pentadbiran kerajaan negeri Pakatan Rakyat Pulau Pinang.

Namun, terdapat pihak-pihak tertentu mengambil kesempatan memutarbelit fakta, menabur fitnah dan memainkan isu perkauman sempit bertujuan memburukkan imej kerajaan negeri. Kejadian yang berlaku kepada peniaga dan penjaja van bergerak sekitar Pantai Queensbay, Bayan Baru, pada 15 Mac lalu sebagai contohnya .

Media Utusan Malaysia, menggambarkan berlaku penganiayaan kepada peniaga berkenaan, apabila pihak Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) melarang mereka menjalankan aktiviti perniagaan di sepanjang jalan pesisir pantai Queensbay.

Hakikatnya, selepas mendapat beberapa aduan daripada pengurusan Queensbay Mall dan orang ramai, mengenai kesesakan yang teruk berlaku di sepanjang jalan pesisir pantai Queens Bay, antara lain disebabkan oleh kebanjiran peniaga van bergerak, pihak MPPP telah menempatkan 10 anggota penguatkuasanya setiap hari bermula 1 Mac lalu.

Bukan bertujuan untuk menyaman atau merampas barangan peniaga, tetapi bagi memastikan kelicinan lalu lintas, di samping menjaga kebersihan persekitaran. Pihak berkuasa sememangnya tidak membenarkan sebarang bentuk perniagaan di sepanjang pesisir jalan berkenaan. Lebih-lebih lagi musim cuti sekolah di mana Pulau Pinang dibanjiri pelancong dari dalam dan luar negara yang akan menyumbang kesesakan yang sedia ada.

Saya difahamkan pada 2009, pihak MPPP telah mengedarkan borang kaji selidik kepada para peniaga terbabit, bertujuan untuk menempatkan mereka di sebuah kawasan tertentu, tetapi tidak mendapat maklum balas positif daripada peniaga.

Namun, sebelum kejadian 15 Mac lalu, saya bersama ADUN Pantai Jerjak YB Sim Tze Tze sedang mengadakan perbincangan dengan pihak tertentu untuk membantu menyelesaikan masalah para peniaga tersebut. Setakat ini, perbincangan masih berjalan dengan beberapa alternatif sedang diperhalusi.

Berhubung kenyataan fitnah oleh Aminah Abdullah terhadap saya, dalam Utusan Malaysia 16 Mac 2011, saya mengakui ada menerima panggilan telefon daripada beliau mengenai perkara itu. Sebelum itupun saya telah dimaklumkan oleh salah seorang pegawai saya . Ekoran itu, saya telah menghubungi Setiausaha MPPP, Ir Ang Aing Thye meminta pihaknya menangani perkara itu secara berhemah dan seperti biasa menasihati para peniaga di situ.

Saya menafikan sekeras-sekerasnya, fitnah oleh Aminah yang kononnya saya mengarahkan para peniaga hadir ke Bahagian Pelesenan MPPP semalam ( 15 Mac 2011) untuk menyelesaikan masalah mereka. Saya mempunyai pegawai yang komited dengan tugas membantu rakyat, dan tidak memerlukan seseorang seperti Aminah yang cuba berlagak menjadi hero rakyat, tapi sebenarnya hanyalah seorang yang ‘bancrupt’ politik.

Sebagai sebuah kerajaan berjiwa rakyat, kerajaan negeri tidak akan menganiaya rakyat. Saya akan membantu para peniaga tersebut, dan akan mengadakan pertemuan dengan mereka dalam masa yang terdekat. Ini janji saya dan tekad saya sebagai hamba rakyat Pulau Pinang.

Hj Abdul Malik Kassim