Thursday, May 5, 2011

Ucapan ADUN Bukit Tengah Ong Chin Wen

Terima kasih Dato’ Speaker kerana memberi peluang kepada saya untuk turut serta dalam perbahasan usul terima kasih kepada ucapan perasmian TYT Tun pada Jumaat yang lalu.

Dalam ucapan perasmian TYT Tun, Tun telah menyentuh program dan projek pembangunan yang berteraskan 5 paksi iaitu (dengan izin) pro-Growth, pro-Jobs, pro-Poor, Pro-Talent dan Pro-Welfare yang diterajui oleh kerajaan Pakatan Rakyat negeri Pulau Pinang.

Dalam membangunkan negeri Pulau Pinang, kerajaan negeri sememangnya menghadapi satu cabaran yang cukup tinggi iaitu mengimbangi di antara pembangunan dan kesan sampingan pembangunan.

Salah satu isu atau masalah yang sering timbul akibat pembangunan adalah banjir kilat dan Pulau Pinang yang pesat dengan pembangunan ini juga tidak lari daripada nasib dilanda banjir kilat. Malahan, pada Jumaat lalu, banjir kilat telah pun berlaku di banyak kawasan di Seberang Perai Tengah dan sebahagian kecil di Seberang Perai Selatan.

Meskipun banjir kilat akan surut dalam tempoh masa yang singkat di mana panduan yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Meteorgical Sedunia bahawa tempoh banjir kilat adalah kurang daripada 6 jam, akan tetapi, kita juga tidak menafikan bahawa banjir kilat ini semestinya membawa kepada kesusahan kepada mangsa-mangsa, kerosakan harta benda, masalah lalulintas dan kadang-kala juga melibatkan kehilangan nyawa.

Saya tidak menafikan bahawa kerajaan negeri telah melaksanakan pelbagai projek termasuklah projek naik taraf parit, pembinaan rumah pam dan sebagainya bagi mengurangkan insiden dan kesan banjir kilat. Akan tetapi, sememangnya terdapat kelemahan dalam sebahagian daripada projek yang dilaksanakan, memandangkan banjir kilat masih berlaku di tapak yang sama. Selain itu, memandangkan pembangunan yang pesat, pelbagai projek pembinaan perumahaan dan projek infrastruktur yang dijalankan di Pulau Pinang, sekian hari, sekian banyak kawasan baru dilandai banjir kilat.

Secara kebiasaannya, pendekatan kita dalam menangani masalah banjir kilat seakan-akan sakit kaki rawat kaki, sakit kepala rawat kepala. Sebagai contohnya, kita sering membina kolam takungan bagi tujuan menyimpan surface runoff, kita biasa memperdalam dan memperluas sungai serta meninggikan tebing sungai untuk menambah kapasiti menampung air sungai, dan kita biasa membina rumah pam untuk mengepam keluar air dari longkang yang mempunyai paras bumi yang lebih rendah kepada parit besar yang mempunyai paras bumi yang lebih tinggi.

Persoalannya ialah samada pendekatan dan kaedah ini adalah berkesan? Nyatanya bukan kesemuanya berkesan. Malahan ada yang gagal.

Maka, saya memohon agar kerajaan negeri melakukan anjakan paradigma dalam pendekatannya bagi menangani masalah banjir kilat dengan satu konsep pengurusan banjir bersepadu yang merangkumi beberapa elemen utama seperti, mengurus kitaran air secara satu proses keseluruhan, dua, pengurusan tanah dan air yang bersepadu, ketiga, mengurus risiko dan ketidaktentuan, keempat, menggunakan satu strategi bercampur, kelima, memastikan satu pendekatan participasi dan keenam, menggunakan pendekatan pengurusan bersepadu tentang keadaan merbahaya. Kita tidak harus menggunakan pendekatan yang fragmeted.

Saya percaya dengan adanya pendekatan secara bersepadu, langkah-langkah yang diambil oleh kerajaan negeri bagi mengatasi masalah banjir kilat akan lebih berkesan kerana ia lebih menyeluruh dan merangkumi kesemua aspek.

Dato’ Speaker,

Isu yang ingin saya bangkit ini ialah isu penyewaan rumah kos rendah, samada ia disewa kepada orang tempatan yang lain atau pekerja warga asing. Menurut jawapan kepada soalan saya, bahawa tidak ada peruntukan undang-undang yang spesifik untuk regulate pemilik rumah kos rendah daripada menyewa rumahnya kepada orang lain. Dan dalam jawapan itu juga mengaku bahawa fenomena penyewaan ini adalah disebabkan antaranya kes pemalsuan maklumat terutamanya tentang pendapatan dan juga status perkahwinan.

Maka, di sini, saya berharap bahawa pihak kerajaan negeri dapat mengkaji semula mekanisme permohonan bagi memastikan mereka yang ditawarkan rumah kos rendah adalah pemohon yang layak dan memerlukan.

Dato’ Speaker,

Di sini juga saya bangkitkan tentang isu perancangan perbandaran. Setiap sesi Dewan, saya sering kemukakan soalan tentang perkembangan terkini penyediaan Rancangan Tempatan iaitu Local Plan yang akan mengandungi maklumat jenis pembangunan setiap lot tanah.

Namun demikian, jawapan di setiap sesi Dewan yang saya perolehi hanya menunjukkan perkembangan yang amat perlahan.

Saya memohon agar penyediaan Local Plan ini dapat dipercepatkan kerana saya percaya dan yakin bahawa dengan adanya Local Plan ini, isu-isu sampingan yang timbul akibat buffer zon tidak mencukupi di antara kawasan perumahan dan kawasan perindustrian, dan juga di antara kawasan perumahan dan perternakan dapat kita kawal.

Dato’ Speaker,

Seterusnya, saya ingin mengucap Selamat Hari Kebebasan Akhbar Sedunia kepada mereka yang bukan sahaja mengambil berat tentang kebebasan akhbar, dan juga mereka yang mendukungi prinsip kebebasan akhbar.

Terdapat dua perkara yang menyedihkan kita pada Hari Kebebasan Akhbar Sedunia, iaitu satu, menurut satu kajian oleh Freedom House menunjukkan ranking kebebasan akhbar Malaysia telah turun ke tangga ke 143 daripada 196 buah negara dan kedua, ialah pemecatan presiden Kesatuan Wartawan Kebangsaan, Encik Hata Wahari oleh Utusan Malaysia atas alasan Encik Hata telah merosakkan imej Utusan Malaysia kerana Encik Hata telah memberi komen sebagai pemberita Utusan Malaysia terhadap dasar editor Utusan Malaysia yang cenderung dengan unsur perkauman.

Kebebasan akhbar merupakan sebahagian elemen kebebasan maklumat. Sekiranya akhbar tidak bebas, ini bermakna orang awam tidak akan memperolehi maklumat yang tepat dan menyeluruh. Dan kebiasaannya, negara yang tidak demokrasi semestinya akhbarnya tidak bebas, maklumat yang diterima oleh rakyat jelatanya telah pun ditapis dan sering didoktrinasikan dengan nilai-nilai yang akan menjaga kepentingan sesetengah pihak. Maka,

Menyedari kebebasan maklumat itu adalah satu elemen yang penting dalam proses pendemokrasian, kerajaan negeri Pakatan Rakyat Pulau Pinang telah mengambil langkah untuk menggubal Undang-undang Kebebasan Maklumat yang bertujuan untuk memastikan pentadbiran kerajaan negeri menjadi lebih telus dan pentadbiran lebih telus semestinya akan meningkat kecekapannya.

Meskipun rang undang-unsnag kebebasan maklumat tersebut masih di peringkat Jawatankuasa Pilihan Dewan dan masih belum diluluskan di dalam dewan ini, saya yakin undang-undang kebebasan maklumat ini akan membukakan ruang demokrasi di negeri Pulau Pinang ini.

Wednesday, May 4, 2011

Draft Ucapan ADUN Pantai Jerejak, Sim Tze Tzin dalam sidang DUN 4hb Mei, 2011

Draft Ucapan ADUN Pantai Jerejak YB Sim Tze Tzin dalam sidang DUN 4hb May, 2011.



1.0 Terlebih dahulu, saya ingin mengucapkan selamat hari pekerja dan juga selamat hari kebebasan akhbar. Para wartawan memperjuangkan kebenaran dan melaporkan berita dengan jujur, dan saya menghormati professionalisme para wartawan. Penghormatan saya tidak termasuk editor TV3, Utusan Malaysia dan Awang Selamat.

2.0 Para pekerja adalah tunggak pemacu ekonomi di negeri Pulau Pinang. Setiap hari ratusan ribu pekerja collar biru dan collar putih begitu juga pegawai kerajaan, menjalankan tugas mereka secara jujur dan disiplin. Sumbangan mereka amat besar kerana merekalah yang memajukan ekonomi mereka.

3.0 Saya ucapkan syabas kepada kerajaan negeri Pulau Pinang kerana Berjaya menarik FDI sebanyak 12.2 billion tahun 2010. Ini adalah pencapaian yang cukup membanggakan. Ini adalah hasil usaha para pekerja di kawasan-kawasan perindustrian di FTZ, yang menyakinkan para pelabur bahawa melabur di Pulau Pinang akan memberi keuntungan kepada pekilang.

4.0 Saya ingin memanggil perhatian kerajaan terhadap kebajikan para pekerja. Beberapa masalah besar yang dihadapi oleh para pekerja. Pertama, adalah gaji pekerja yang amat rendah. Secara purata gaji permulaan seorang pekerja kilang lulusan SPM adalah hanyalah RM550. Gaji 10 tahun dahulu adalah RM500. Tetapi harga barang naik berkali-kali ganda.

5.0 Kedua, kemasukan pekerja-pekerja asing telah memberi saingan yang begitu hebat kepada pekerja tempatan. Mereka telah merampas tempat pekerja tempatan dan juga suppress kenaikan gaji yang sewajarnya. Saya memahami bahawa kita masih kekurangan pekerja dalam perindustrian. Dan sememangnya isu pekerja adalah di bawah kerajaan pusat. Tetapi saya mohon prihatin kerajaan negeri dan berbuat sesuatu kerana Perindustrian adalah tunggak ekonomi negeri Pulau Pinang.

6.0 Pakatan Rakyat memperjuangkan gaji minima untuk pekerja kilang. Ini telah termaktub dalam manifesto Pakatan Rakyat. Maka saya berharap kerajaan negeri mula memperjuangkan isu gaji minima di kalangan para industrialists dan pekerja. Kerajaan negeri harus memberi satu mesej yang jelas bahawa gaji pekerja sekarang terlalu rendah dan perlu dinaikan secara berperingkat sehingga ke garis gaji minima. Para industralist mempunyai masa untuk membuat perubahan sehingga Pakatan Rakyat membentuk kerajaan di Putrajaya.

7.0 Mereka harus diberi tempoh masa untuk meningkatkan proses automation di dalam kilang-kilang mereka. Supaya mereka tidak lagi bergantung kepada tenaga pekerja berkemahiran rendah. Proses ini tidak boleh dilonjatkan secara serta merta. Pekilang juga tidak rasa desakan jika dasar perindustrian kita masih bergantung kepada low skill, low wage workers. Maka kerajaan negeri jika memberi hala-tuju dan tempoh masa untuk menaikkan gaji ke gaji minima, maka, para industrialist akan mula perancangan dari sekarang.

8.0 Ketiga, adalah kekurangan perbincangan dan dialog tripartite antara pekerja-perindustrian-kerajaan. Para pekerja mempunyai banyak rungutan, para industrialist juga ingin tingkatkan produktiviti pekerja. Tetapi mereka kurang mempunyai ruang dan platform untuk berbuat demikian. Maka banyak isu pekerja berlanjutan.

9.0 Apa yang boleh kita buat?

10.0 Saya ingin mencadangkan satu MMK Pekerja di bawah Exco Perindustrian iaitu Timbalan Ketua Menteri 1. MMK ini bertujuan memperjuangkan isu pekerja-pekerja kilang. Ia boleh juga boleh mengadakan dialog berkala tripartite dengan pekilang dan union-union pekerja. MMK ini juga bertanggungjawab melakarkan perancangan dasar pekerja negeri, bagaimana menarik lebih ramai skilled workers untuk bekerja di Pulau Pinang dan mengatasi kekurangan pekerja.

11.0 MMK Pekerja juga boleh melakarkan program-program seperti bantuan guaman, program skill training dan sebagainya. Saya harap kerajaan boleh mempertimbangkan cadangan saya.

Demokrasi
12.0 Selepas 3 tahun Pakatan Rakyat memegang kerajaan negeri, pelbagai initiative untuk mendemokrasikan negeri telah dijalankan. Saya beri contoh seperti meluluskan usul untuk menjalankan pilihanraya kerajaan tempatan, draf undang-undang Freedom of Information dan juga menyediakan sudut free speech corner. Syabas kepada kerajaan negeri.

13.0 Kerajaan tidak harus henti begitu sahaja, malah kita harus memimpin arus perubahan dan pendemokrasian. Kerajaan Pakatan harus menggunakan kekuatan 2/3 DUN untuk melaksanakan reform pendemokrasian secepat mungkin.Saya ingin cadangkan 3 reform initiative untuk memantapkan demokrasi negeri Pulau Pinang.

14.0 Yang pertama, campaign finance reform.

15.0 Parti-parti politik di Negara ini kebanyakan mendapatkan dana pilihanraya dari ahli parti atau penyokong-penyokong. Saya tidak tahu dengan UMNO/BN sebab mereka kaya dan mempunyai banyak saluran. Baru-baru ini MACC mengesyorkan bahawa mereka ingin memantau sumbangan wang politik kerana ia adalah satu unsur rasuah. Tetapi menteri Barisan Nasional Hishamuddin Tun Hussein Oon cepat-cepat keluar kata tidak setuju, kononnya akan menakutkan penderma.

16.0 Ada satu buku….

17.0 Maka, kita tahu bahawa sumbangan politik adalah satu masalah yang besar dan mencabar system demokrasi Negara kita.

18.0 Kerajaan negeri harus menerajui campaign finance reform di negeri Pulau Pinang. Pulau Pinang adalah epicenter tsunami politik tahun 2008. Rakyat Pulau Pinang ingin melihat political reform.

19.0 Saya ingin mencadangkan penubuhan satu Tabung Amanah Pilihanraya. Tabung ini berfungsi untuk menyumbangkan wang kepada calon-calon pilihanraya, baik PR atau BN. Calon-calon akan menggunakan wang kerajaan untuk bertanding. Dengan ini, mereka dilarang mendapatkan sumbangan kewangan yang mungkin berunsur rasuah. Maka calon-calon boleh bertanding secara adil dan kita boleh memastikan pilihanraya dijalankan secara bersih.

20.0 Saya ingin mencadangkan RM100,000 untuk setiap calon di setiap DUN. Maka, kerajaan hanya perlu memperuntukan RM8juta untuk kesemua 40 kerusi pilihanraya DUN. Ini adalah satu kos yang cukup rendah untuk menjalankan pilihanraya yang adil dan Bersih.

21.0 Sebenarnya, campaign finance yang dibiayai oleh kerajaan bukan sesuatu perkara yang baru. Negera German telah melaksanakan system ini selepas perang dunia kedua dan Berjaya mewujudkan Negara demokrasi yang mantap. Baru-baru ini, Negara Africa Naminbia juga melaksanakan Tabung Amanah Pilihanraya dan Negara tersebut mengalami pendemokrasian yang pesat.

22.0 Pulau Pinang haruslah menerajui pendemokrasian ini.

23.0 Kedua, Pemantapan Demokrasi Dewan Undangan Negeri.

24.0 Apa yang dimaksudkan pemantapan ini? Ada beberapa criteria yang disyorkan oleh Commonwealth Parliamentary Association CPA. Di antaranya Parliament atau DUN harus mempunyai independence of jurisdiction. Saya ingin syorkan bahawa kerajaan negeri memberi kuasa independent kepada DUN. Dimana DUN mempunyai kuasa tertentu. Contohnya kebebasan untuk mengurus kewangan DUN. Kewangan DUN diperuntukan oleh kerajaan negeri kemudian baget DUN ditentukan oleh select committee.

25.0 Kita harus belajar dari Dewan Undangan Negeri Selangor dan pimpinan Exco kerajaan Selangor dalam hal ini. Mereka telah kedepan dari segi pendemokrasian dan pemantapan DUN.

26.0 Ketiga, melanjutkan sidang DUN demi kerajaan yang lebih Accountable dan Transparent.

27.0 Saya memeriksa rekod dan dapati bahawa pada tahun 2005 sidang dewan 14 hari. Tahun 2006 dewan bersidang 12 hari. Tahun 2007, 12 hari. Tahun 2008, sidang dewan 14 hari. Tahun 2009, 12 hari.

28.0 Ini bukan satu rekod yang kurang memuaskan. Kerana kalau kita bandingkan dengan BN, tidak berbeza banyak. Saya nak ambil contoh Australia, DUN West Australia bersidang 22 minggu setiap tahun. Maksudnya lebih kurang 88 hari setahun.

29.0 Sidang DUN Pulau Pinang harus dipanjangkan untuk meningkatkan prestasi DUN dan memastikan kerajaan berfungsi secara accountable dan transparent.

Land Reclamation di Pantai Queensbay

30.0 Saya difahamkan kerajaan telah meluluskan penambakan tanah di pantai Queensbay. Ini adalah satu pampasan kerajaan negeri kepada Boustead Holding Bhd akibat larangan ketinggian di kawasan heritage UNESCO.

31.0 Boustead dibenarkan menambak 100 ekar tanah di pantai di hadapan Queensbay.

32.0 Setakat ini, saya masih belum dimaklumkan tentang projek ini maka saya tidak tahu secara teliti dengan projek ini. Saya meminta kerajaan negeri boleh memberi taklimat kepada Adun kawasan setiap kali projek besar dan penting seperti ini. Kami perlu jawab kepada pengundi-pengundi.

33.0 Saya ingin membangkitkan kekhuthiran dan reservation terhadap projek ini.

34.0 Pertama, projek tambakan boleh menghasilkan masalah alam sekitar. Kita harus mengambil iktibar dari projek tambakan E&O di Tanjung Tokong, di mana Gurney Drive mendapat mendapan dari situ. Mungkin mendapan akan berlaku di sekitar pantai Queensbay, Pulau Jerejak ataupun Batu Maung. Saya berharap EIA dijalankan secara teliti.

35.0 Kedua, Pulau Jerejak adalah crown jewel untuk negeri Pulau Pinang. Ia sepatutnya dibangunkan sebagai kawasan perlancongan seperti Sentosa Island di Singapura. Maka ia memerlukan tanah di sebelah kawasan Queensbay untuk melengkapkan pembangunan di Pulau Jerejak. Sebarang penambakan di kawasan sisiran pantai Queensbay harus dibuat secara berpandangan jauh.

PERBAHASAN ADUN PADANG LALANG, TAN CHEONG HENG

MESYUARAT YANG PERTAMA BAGI PENGGAL YANG KEEMPAT
DEWAN UNDANGAN NEGERI PULAU PINANG YANG KEDUA BELAS

PERBAHASAN ADUN PADANG LALANG, YB TUAN TAN CHEONG HENG

TARIKH: 4HB MEI 2011


YB Datuk Speaker yang saya hormati, selamat pagi dan salam sejahtera.

Saya ingin mengambil bahagian untuk membahaskan usul terima kasih ke atas ucapan Tuan yang Terutama sempena pembukaan rasmi Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Persidangan Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang.

YB Datuk Speaker, saya berpendapat jika kita berhasrat untuk menjadikan Negeri Pulau Pinang sebuah bandaraya yang bertaraf antarabangsa, maka kita seharusnya menitikberatkan kebersihan alam sekitar.

Walaupun kedua-dua PBT kita, iaitu MPPP dan MPSP telah berusaha dengan sungguh-sungguh untuk memperbaiki tahap kebersihan, tetapi saya mendapati masih terdapat ruang yang agak luas untuk kedua-dua buah PBT memainkan peranan dengan lebih baik dan berkesan.

Walaubagaimanapun, saya ingin mengambil kesempatan dalam Dewan yang mulia ini untuk mengucapkan ribuan terima kasih dan syabas kepada pegawai-pegawai dan kakitangan-kakitangan MPPP dan MPSP kerana prestasi menjalankan tugas masing-masing memang telah ternampak kemajuan, ini tidak boleh saya menafikan, tetapi saya berharap MPPP dan MPSP meneruskan kerja-kerja penambahbaikan ini untuk memastikan kebersihan alam sekitar dapat diteruskan dan mungkin dalam satu atau dua tahun yang akan datang, kita dapat menikmati alam sekitar yang bersih, nyaman serta makmur untuk rakyat Pulau Pinang menduduki dan bekerja.

YB Datuk Speaker, masalah banjir kilat yang berlaku baru-baru ini jelas membuktikan kerja-kerja tebatan banjir masih belum berjaya dengan sepenuhnya.

Di KADUN Padang Lalang, hujan lebat telah menyebabkan banyak taman-taman perumahan ditenggelami air. Saya berharap kerja-kerja tebatan banjir di Taman Desa Damai dan Taman Makok dapat disegerakan. Saya juga ingin memohon supaya pihak yang berkenaan memandang berat terhadap masalah banjir kilat di Taman Sri Rambai Fasa I, Taman Sungai Rambai dan taman-taman yang berdekatan. Kawasan-kawasan yang rendah ini memerlukan rumah pam supaya air hujan dapat dipam ke dalam sungai atau parit dengan cepat untuk mengelakkan air hujan memasuki kediaman-kediaman.

Kerja-kerja penyelenggaraan dan pembersihan parit-parit monsoon juga seharusnya dijalankan lebih kerap, bukan dua kali setahun untuk membolehkan parit-parit dan sungai-sungai dapat menampung lebih banyak air.

YB Datuk Speaker, masalah rumah retak dan kemendapan tanah di Taman Kota Permai yang diakibatkan oleh projek JPP masih belum diselesaikan dengan sepenuhnya.

Saya menyeru kepada JPP supaya mengambil inisiatif dan langkah-langkah yang positif untuk tampil ke hadapan supaya kesengsaraan dan kebimbangan penduduk-penduduk setempat dapat diatasi dengan berkesan dalam masa terdekat.

Masalah rumah meretak berlaku atas sebab kerja-kerja pembinaan projek JPP adalah satu fakta yang tidak boleh JPP menafikan. Oleh itu, saya ingin nampak sesuatu yang konstruktif dapat dilakukan oleh JPP dengan serta-merta.

YB Datuk Speaker, sistem pengangkutan awam di Seberang Perai berada dalam situasi serba kekurangan, warga Seberang Perai berhadapan dengan masalah pengangkutan, di mana semua orang dipaksa menggunakan kereta atau motosikal sendiri.

Misalnya, apabila seorang penduduk di Taman Sri Rambai ingin pergi ke Berapit, langsung tidak ada bas atau teksi yang boleh beliau pakai.

Saya menyeru kepada Kerajaan supaya satu sistem pengangkutan awam yang beroperasi antara taman-taman perumahan dalam sesebuah bandar dapat diwujudkan dengan kerjasama Rapid Penang dan syarikat-syarikat bas yang lain.

YB Datuk Speaker, saya ingin mencadangkan Kerajaan memberi insentif kepada syarikat bas yang ingin memberi perkhdimatan ini supaya kita dapat menyenangkan orang awam yang ingin berulang-alik dari satu taman ke satu taman dengan kos yang minima, ini merupakan kebaikan pertama.

Kedua, dengan adanya sistem pengangkutan awam yang berkesan, kesesakan lalulintas dapat dikurangkan.

Ketiga, penjimatan kegunaan petrol dapat mengurangkan juga kecemaran alam semulajadi.

YB Datuk Speaker, industri pelancongan merupakan satu sektor aktiviti ekonomi yang penting di Pulau Pinang, malangnya kebaikan dan keuntungan yang diperolehi kurang dapat disalurkan ke Seberang Perai, kerana pelancong-pelancong dari luar Negara dan juga dalam negera kurang mengunjungi Seberang Perai.

Saya berpendapat, terdapat banyak destinasi dan tarikan-tarikan pelancongan yang bermutu tinggi di Seberang Perai, tetapi sekian lama ini telah dipinggirkan. Saya meminta Kerajaan menjalankan satu program promosi pelancongan di Seberang Perai supaya lebih ramai orang mengetahui Seberang Perai.

Bayangkan, jikalau setiap hari terdapat 20 buah bas yang membawa pelancong-pelancong dari sebelah pulau masuk ke Seberang Perai untuk lawatan satu hari, maka akan terdapat lebih kurang 600 orang pelancong boleh belanja di Seberang Perai, ini akan menggalakkan aktiviti-aktiviti ekonomi dan memberi keuntungan yang lumayan kepada sektor bisnes di Seberang Perai.

YB Datuk Speaker, saya juga tidak lupa golongan wanita yang ramai. Wanita memainkan peranan yang penting dalam kehidupan kita, maka saya ingin menyeru kepada Kerajaan supaya lebih perhatian disalurkan kepada golongan wanita untuk membantu mereka mencapai impian-impian mereka.

Saya berpendapat, golongan wanita memerlukan peluang yang adil dan saksama, saya ingin mengucapkan syabas kepada Kerajaan kerana kita sebenarnya telah mengambil langkah yang positif untuk golongan wanita diletakan di posisi penting dalam pentadbiran Kerajaan, contohnya kedua-dua orang Tuan Yang diPertua MPPP dan MPSP adalah wanita.

Ibu tunggal juga harus diberi perhatian, supaya mereka dapat bekerja untuk mencari punca pendapatan. Golongan ini memerlukan lebih banyak bantuan kemudahan untuk menjaga anak-anak mereka apabila mereka bekerja.

YB Datuk Speaker, walaupun bidang pendidikan dan perubatan bukan bawah pentadbiran Kerajaan Negeri, saya berharap kerjasama antara kita dengan Kerajaan Pusat harus dipereratkan, supaya lebih peruntukan disalurkan kepada sekolah-sekolah dan hospital-hospital dalam Negeri Pulau Pinang.

Pendidikan merupakan alat untuk menjana kuasa memaju ke masa hadapan. Anak-anak muda Pulau Pinang seharusnya diberi peluang yang mencukupi supaya mereka dapat mengecapi ilmu dan kemahiran untuk membantu membangunkan Pulau Pinang.

Hospital pula merupakan satu kemudahan harian setiap orang rakyat Pulau Pinang. Dengan kos yang terlalu tinggi yang dicaj oleh hospital swasta, saya berpendapat Kerajaan mesti mengambil inisiatif untuk berbincang dengan Kementerian Kesihatan supaya hospital-hospital awam yang baru dapat dibina di Pulau Pinang, dan banyak hospital sedia ada yang tidak dapat menampung pesakit-pesakit yang semakin hari semakin tambah, hospital-hospital ini perlu dinaiktaraf dan kemudahan baru harus disediakan, termasuk lebih wad dibina untuk keselesaan pesakit-pesakit.

YB Datuk Speaker, rumah pangsa kos rendah dan kos sederhana merupakan rumah yang mampu dibeli oleh sesetengah rakyat Pulau Pinang yang berpendapatan rendah, tetapi malangnya saya mendapati banyak rumah pangsa kos rendah telah disewa kepada pendatang asing yang bekerja di kilang-kilang besar.

Saya amat kecewa dengan penguatkuasaan yang amat lemah, dimana dasar kita memang tidak membenarkan rumah pangsa jenis ini disewa, hakikatnya insiden ini berlaku di merata tempat. Saya memohon pihak yang bertanggungjawab memberi lebih tumpuan terhadap sinario ini yang merugikan rakyat kita. Saya berharap tindakan tegas harus diambil terhadap mereka yang mengingkari dasar-dasar yang sedia ada.

YB Datuk Speaker, pentadbiran yang telus dan cekap amat penting untuk sesebuah Kerajaan menjamin pegawai-pegawainya tidak terlibat dengan gejala rasuah.

Sebagai teladan, Kerajaan Pakatan Rakyat Pulau Pinang telah mendapat pujian dari Transparency International kerana usaha-usaha membanteras jenayah rasuah kita.

Keadaan kewangan MPSP telah diselamatkan dari ambang bankrupsi dengan pentadbiran yang cekap, akauntabiliti dan telus juga.

Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk menyeru kepada Perdana Menteri Dato Seri Najib mengamalkan kaedah menangani rasuah Singapura atau Hong Kong, dimana jika seseorang pegawai awam didapati menikmati cara kehidupan mewah yang di luar kemampuan pendapatan beliau, maka beliau akan disiasat, jika beliau tidak dapat membuktikan kemewahan beliau adalah dari punca pendapatan yang halal, maka beliau akan didakwa ke mahkamah.

Dato Seri Najib berkata beliau ingin memakai cara ‘blue ocean’, dengan izin, untuk menangani masalah rasuah, saya berpendapat, YB Datuk Speaker, macam mana Perdana Menteri dapat berjaya menyelesaikan gejala rasuah di Negara ini jika beliau ‘cakap tak serupa bikin’?

Saya berpendapat, tak kira ‘blue ocean’ atau ‘red ocean’, masalah rasuah masih akan terus bermaharajalela bawah pemerintahan UMNO Barisan Nasional.

YB Datuk Speaker, saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengkritik suratkhabar yang suka menyiarkan berita-berita palsu yang berniat jahat dan mempermainkan sentimen perkauman dan agama. Suratkhabar yang saya maksudkan adalah Utusan Malaysia.

Saya bercadang Kerajaan Negeri seharusnya mengambil tindakan mahkamah terhadap suratkhabar ini apabila mereka mencetakan berita-berita palsu yang memburukkan prestasi dan imej Kerajaan dan juga pemimpin-pemimpin kita.

Trend dan cara Utusan Malaysia menggendalikan laporan mereka yang bahaya ini akan menghancurkan perpaduan dan keharmonian kaum-kaum Negara ini. Saya berpendapat, hanya melalui tindakan mahkamah baru boleh kita berjaya menghalang Utusan Malaysia dari meneruskan tindakan jahat dan keji ini.

YB Datuk Speaker, saya berpendapat, slogan ‘Satu Malaysia’ yang dilaungkan oleh Perdana Menteri merupakan satu slogan yang tidak bermakna, kerana UMNO Barisan Nasional selalu “cakap tak serupa bikin”, cakap Satu Malaysia, tetapi Melayu diutamakan, rakyat dibahagi kepada dua, iaitu Bumiputera dan Bukan Bumiputera.

YB Datuk Speaker, slogan ‘Satu Malaysia’ nampaknya menarik, tetapi hakikatnya, saya berpendapat, ‘Satu Malaysia’ hanya merupakan satu lagi slogan yang kosong, tanpa sebarang makna yang jati dan ikhlas.

Dengan hormatnya saya mohon menyokong.

Sekian, terima kasih.