Tuesday, April 19, 2011

Kenyataan Media oleh Chow Kon Yeow terhadap Isu Tapak Penjaja Sunway Tunas

Kenyataan Media Mengenai Aduan Terhadap “Corrupt Practices Of MPPP Officers & Former Councillor” oleh Dedah Korupsi (Pro Bono Publico)

Berkenaan dengan email daripada “Dedah Korupsi” oleh Pro Bono Publico bertarikh 6 April 2011 berkenaan dengan “Corrupt Practices Of MPPP Officers & Former Councillor”, siasatan telah dijalankan oleh MPPP.

Tanah yang dimaksudkan oleh pengadu ialah Lot 13180, Mukim 12, Persiaran Mahsuri 1, Taman Sunway Tunas. Tanah ini diserahkan oleh pemaju Tetuan Sunway Tunas Sdn. Bhd. dengan perjanjian namaan RM1.00 kepada Majlis sebagai tapak penjaja. Tanah ini telah didaftarkan di bawah pemilikan MPPP pada 26 September 2002.

Tanah ini diserahkan kepada MPPP sebagai tapak penjaja dalam keadaan tapak kosong yang berlantaikan konkrit dan disediakan juga tempat basuhan. Tapak penjaja ini di bawah pengurusan Bahagian Pelesenan sebagai jabatan yang bertanggungjawab atas pengurusan pasar dan kompleks penjaja.

MPPP telah menerima satu permohonan daripada Tetuan Sunway Sdn. Bhd. pada 21 Mac 2011 untuk membeli semula tanah ini tetapi MPPP telah menolak disebabkan tanah ini adalah untuk tapak penjaja. Pada ketika ini, tiada sebarang struktur yang dibina di atas tapak tersebut dan MPPP sekarang dalam proses untuk memagar tapak tersebut. MPPP belum ada sebarang perancangan untuk membina gerai-gerai penjaja.

MPPP tidak mengetahui tentang penglibatan bekas Ahli Majlis yang dimaksudkan dalam email tersebut. MPPP juga menafikan tuduhan pegawai Jabatan Penilaian dan Pengurusan Harta yang ”corrupt” kerana MPPP telah menolak permohonan ini.


Chow Kon Yeow
19-4-2011